Utama Android Honor Ulasan HONOR Watch GS 3 – Versatil dengan pelbagai ciri penjejakan kesihatan...

Ulasan HONOR Watch GS 3 – Versatil dengan pelbagai ciri penjejakan kesihatan & kecergasan

800
0

HONOR Watch GS 3 hadir dengan rekaan yang elegan dan sporty melalui pelbagai mod kecergasan serta beberapa mod kesihatan seperti pemantauan kadar nadi, stress dan oksigen dalam dalam darah.

Ciri pintar seperti aplikasi natif, sokongan pembayaran nirwayar dan sistem notifikasi yang bersesuaian bagaimanapun tidak terdapat pada jam tangan pintar ini. Pun begitu, ciri baterinya yang mampu bertahan untuk penggunaan yang lama adalah sesuatu yang perlu diketengahkan.

Untuk ulasan kali ini, kami menerima HONOR Watch GS 3 berwarna Midnight Black untuk dikupas dengan lebih lanjut sebagai panduan buat anda semua.

Rekaan dan Paparan

Rekaan jam tangan pintar merupakan daya tarikannya melalui paparan AMOLED 46mm dengan ketumpatan piksel 326 PPI. Kecerahannya juga agak bagus terutamanya ketika digunakan di luar.

HONOR Watch GS 3 mempunyai mod paparan sentiasa terpasang (always-on display, AOD) dengan pelbagai muka jam yang boleh dipilih. AOD ini bagus untuk pengguna yang seringkali tengok jam pukul berapa, namun ia akan menyebabkan bateri jam pintar tersebut cepat habis.

Pada berat 44 gram, jam tangan pintar ini boleh dikatakan agak ringan dan tidak membuatkan anda berasa tidak selesa jika menggunakannya dalam tempoh yang agak lama. Malah, tali jam yang dibekalkan bersama-samanya juga selesa apabila dipakai.

Tiada crown digital atau bezel berputar pada jam tangan pintar berkenaan. HONOR menyediakan kawalan sentuhan tradisional bersama-sama dua butang pada sisinya. Butang sebelah atas digunakan untuk membuka menu fungsi-fungsi yang disediakan, manakala butang sebelah bawahnya pula boleh diubahsuai untuk berfungsi sebagai pintasan untuk fungsi-fungsi kegemaran anda. Kedua-dua butang tersebut boleh ditekan dan menonjol seperti butang fizikal yang biasa terdapat pada sesetengah jam tradisional.

Pada bahagian belakang jam tangan tersebut, disediakan sensor kadar nadi 8 saluran dan sensor SpO2 yang ditempatkan pada bahagian tengahnya dengan sedikit menimbul. Turut disediakan lubang pin untuk meletakkan pengecas bermagnetnya.

Prestasi

HONOR Watch GS 3 menggunakan LiteOS, sistem operasi proprietari yang digunakan pada jam-jam tangan pintar HONOR dan Huawei sebelum ini. GS 3 menggunakan cipset Apollo4 yang mampu menguruskan tugasan harian dengan baik tanpa menyebabkan sebarang isu tergendala.

Antaramukanya juga agak mudah difahami dan mudah dikendalikan. Menelusuri antaramukanya kebanyakan boleh dibuat menerusi butang atasnya dan ia juga boleh digunakan untuk kembali skrin kunci (lockscreen). Anda boleh memaparkan kembali skrinnya dengan ketik dua kali pada paparan atau menekan salah satu dari dua butang yang disediakannya.

Butang atasnya membawakan anda ke halaman aplikasi, manakala butang bawah pula boleh ditetapkan secara lalai ke aplikasi senaman selain anda boleh menetapkannya semula ke apa-apa aplikasi lain di dalam tetapan. Anda juga boleh menetapkan sehingga enam aplikasi pintasan bersebelahan paparan skrin utama dengan menyapu (swipe) ke kiri atau ke kanan. Pemain muzik terbina dalamnya merupakan penambahan yang menarik, cuma memindahkan muzik ke jam tersebut melalui aplikasi HONOR Health berjalan agak perlahan.

Pembesar suara terbina dalamnya juga agak lantang dan berguna jika ingin menggunakannya untuk menjawab panggilan. Kualiti mikrofonnya juga memadai untuk digunakan sungguhpun tidak menyamai kualiti seperti yang terdapat pada telefon pintar mahupun earbud nirwayar. Pun begitu, penambahan ini merupakan sesuatu yang baik yang berguna kepada pengguna yang ingin menjawab panggilan.

Ciri Penjejakan Kecergasan dan Kesihatan

Penjejakan kesihatan pada Watch GS 3 menerima manfaat dari sensor denyutan nadi PPG lapan saluran baharu dengan penjejakan frekuensi dan tambahan algoritma kadar denyutan nadi AI.

Menurut HONOR, ketepatan kadar nadi adalah lebih 97%, cuma setakat ini saya tidak mempunyai alatan lain untuk membandingkan sejauh mana ketepatan seperti yang dikatakan.

Bacaan SpO2 juga disediakan dengan keputusannya mencatatkan disekitar 95-100%. Pun begitu, keputusan bacaannya ini perlu dibandingkan dengan gred perubatan alat pemantauan SpO2.

Anda juga boleh membuat semakan kualiti tidur anda melalui aplikasi HONOR Health yang dipasangkan pada telefon pintar anda. Keputusan penjejakan tidurnya dilihat agak tepat dengan waktu tidur dan terjaga serta pecahan kualiti tidur seperti tahap tidur rapid eye movement (REM).

Data untuk aktiviti larian menunjukkan metrik biasa seperti pergerakan purata, kelajuan dan frekuensi langkah bersama-sama metrik kadar nadi dan kalori yang dibakar. Jika mengaktifkan penjejakan GPS, anda akan menerima peta larian anda yang agak tepat. Sensor GPS pada jam ini pada kebiasaannya mengambil masa 10 saat untuk mengenalpasti lokasi semasa anda.

Pelbagai jenis rutin senaman dengan panduan turut disediakan bagi membantu anda menjalankan rutin kecergasan anda dari sesi regangan otot 3-minit hinggalah senaman keseluruhan tubuh. Senaman bersama-sama panduan ini bagus untuk anda menukar rutin senaman atau menghabiskan sesuatu senaman dengan sesi regangan langkah demi langkah.

Jangka hayat bateri

Honor Watch GS 3 mempunyai sel beteri 451mAh yang mampu bertahan selama 14 hari bagi penggunaan biasa dan 30 jam bagi penggunaan secara berterusan dengan GPS dihidupkan.

Bergantung pada tahap penggunaan anda, misalnya untuk anda yang ingin sentiasa memantau kadar nadi, SpO2, pola tidur dan sebagainya untuk sesi senaman, jam tangan ini mampu bertahan untuk digunakan selama empat hingga lima hari sebelum ia perlu dicaskan semula.

Harga HONOR Watch GS3 di Malaysia

Honor Watch GS3 merupakan jam tangan pintar yang versatil dengan rekaan penuh gaya. Ia juga menampilkan sejumlah fungsi penjejakan kesihatan dan juga kecergasan melalui pelbagai jenis senaman dan sukan di dalamnya.

Cuma sedikit kekurangan padanya adalah ketiadaan aplikasi pihak ketiga, NFC dan juga tidak boleh membalas notifikasi. Pun begitu, untuk ciri-ciri penting padanya, ia mampu menawarkan yang terbaik untuk para peminat HONOR.

  • HONOR Watch GS3 Midnight Black – RM899
  • HONOR Watch GS3 Ocean Blue – RM999
  • HONOR Watch GS3 Classic Gold – RM999

Maklumat lanjut, layari laman HONOR Malaysia di: https://www.hihonor.com/my/wearables/honor-watch-gs-3/buy/

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.