Utama Mobile Android Cara Lindungi Peranti Android Anda dari Malware

Cara Lindungi Peranti Android Anda dari Malware

1263
1

Malware peranti mudah alih sedang membiak dan peranti anda berisiko untuk dijangkiti. Tips-tips yang disediakan ini diharap dapat membantu anda mencegah sebarang anasir-anasir jahat yang tidak diingini dari menjangkiti peranti mudah alih kesayangan anda.

Kadar pemilikan peranti mudah alih kian meningkat dengan Android menerajui senarai pemilikan yang paling ramai di seluruh dunia. Sistem operasi sumber terbuka yang pada asalnya dibangunkan oleh Google ini menguasai lebih dari separuh telefon pintar di seluruh dunia.

Jumlah pengguna yang terlalu ramai ini telah menarik perhatian para penjenayah-penjenayah siber untuk menggemblengkan usaha untuk mencuri maklumat-maklumat peribadi dari pengguna Android. Walaupun kebanyakan malware mudah alih sering diketemukan di negara-negara seperti Rusia dan China, pengguna-pengguna di Malaysia tidak semestinya terselamat dari ancaman ini.

Antara faktor yang mempengaruhi peningkatan jumlah kes jangkitan malware ini adalah dari sikap pengguna itu sendiri. Kebanyakan pengguna hanya menganggap telefon pintar mereka hanyalah sekadar telefon biasa sahaja dan bukannya seperti sebuah komputer. Oleh itu, penjenayah-penjenayah siber memanipulasikan keadaan ini dengan menghasilkan malware yang mampu memintas pesanan ringkas pengguna, memantau panggilan pengguna, mencuri maklumat peribadi hinggalah kepada mengintip perbualan pengguna melalui mikrofon telefon pintar.

Oleh itu, pengguna harus peka dalam menghindari serangan malware ini. Selain dari menggunakan aplikasi antivirus yang boleh dipercayai di Google Play, pengguna boleh mengamalkan beberapa petua untuk menjauhkan diri dari kejahatan malware.

Memuat turun aplikasi dari saluran yang sah

Apabila memut turun aplikasi Android, pastikan anda memuat turun aplikasi berkenaan dari saluran-saluran yang betul dan boleh dipercayai seperti Google Play, Samsung, dan pengeluar-pengeluar peranti Android utama lain.

Marketplace sebegini sentiasa dipantau dan diimbas untuk mencegah sebarang program-program palsu dan merbahaya. Tapi, ada masanya sesetengah aplikasi-aplikasi berniat jahat ini terlepas juga dari pemantauan Google Play.

Misalnya seperti yang pernah terjadi pada aplikasi palsu BBM. Ia adalah aplikasi spam dan telah berjaya mendapat lebih dari 100,000 muat turun dari pengguna sebelum ianya dibuang oleh Google Play.

Aplikasi-aplikasi yang meragukan

Aplikasi BBM palsu merupakan contoh yang terbaik di mana terdapat ramai pengguna yang tidak meneliti terlebih dahulu aplikasi-aplikasi yang ingin dimuat turun. Pada kebiasaannya, pengguna dapat mengecam sesebuah aplikasi itu palsu apabila membaca keterangan yang disediakan, komen testimoni dari pengguna-pengguna yang pernah memuat turun dan juga keizinan aplikasi yang dikhuatiri bertujuan manipulasi.

Aplikasi cetak rompak

Menggunakan aplikasi dan perisian cetak rompak sememangnya sesuatu yang salah di sisi undang-undang. Selain dari itu, ia juga mengundang bahaya memandangkan kebanyakan fail-fail APK cetak rompak mengandungi malware dan program-program merbahaya.

Untuk itu, sebagai jalan selamat, anda sebaiknya dinasihatkan sekali lagi agar memuat turun dari tempat-tempat yang ditauliahkan seperti di Google Play.

Tetapan (Settings)

Google telah menyediakan beberapa tetapan tambahan di dalam sistem operasi Android untuk mencegah serangan-serangan berniat jahat. Peranti-peranti yang menggunakan Android versi 2.2 dan ke atas mempunyai akses ke pengimbas malware Google. Sebelum anda memasang aplikasi yang dimuat turun dari tempat selain dari Google Play, Google akan mengimbas aplikasi berkenaan dan akan memberi amaran kepada pengguna jika terdapat sebarang ancaman dari aplikasi berkenaan.

Tetapan ini telah ditetapkan secara default dan boleh diakses melalui Google Settings di dalam laci aplikasi (app drawer) peranti. Bagi pengguna Android 4.2 dan ke atas pula, fungsi ini boleh diakses melalui Settings > Security > Verify Apps.

Peranti Android 4.2 dan ke atas mampu melindungi dari cas bayaran penggunaan SMS premium. Satu notifikasi akan diberikan jika sesebuah aplikasi itu cuba menghantar SMS melalui perkhidmatan premium dan pengguna bebas untuk memilh bersetuju atau membatalkan transaksi berkenaan. Fungsi ini telah ditetapkan secara terus ke dalam sistem operasi dan tidak memerlukan pengguna untuk mengaktifkannya.

Kemaskini Perisian

Jika anda mendapati kemaskini terbaru untuk peranti anda diterbitkan dan sedia untuk dimuat turun, lakukan dengan kadar segera. Pengeluar peranti dan Google sendiri akan mengeluarkan kemaskini untuk peranti-peranti anda untuk mengatasi masalah pepijat, memberi penambahbaikan, memasukkan fungsi-fungsi terbaru dan juga untuk meningkatkan tahap keselamatan peranti anda.

Untuk memeriksa kemaskini peranti Android anda, pergi ke Settings > About Phone > System Updates.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.