Utama Google Google Photos akan menawarkan Alatan Suntingan AI Percuma kepada Semua Pengguna

Google Photos akan menawarkan Alatan Suntingan AI Percuma kepada Semua Pengguna

61
0

Google telah mengumumkan akan membawakan alatan suntingan berasaskan kecerdasan buatan (artificial intellgence, AI) di dalam Google Photos kepada semua pengguna. Ini bermakna, anda tidak perlu melanggan perkhidmatan Google One untuk mendapatkan akses ke alatan-alatan AI di dalam aplikasi tersebut.

Alatan yang dimaksudkan termasuklah Magic Eraser, Photo Unblur, Portrait Light, dan, Magic Editor. Kesemuanya akan boleh diakses oleh pengguna bermula 15 Mei ini secara berperingkat termasuk kepada pengguna-pengguna Google Photos yang menggunakan peranti iOS seperti iPhone dan iPad.

Google melancarkan Magic Editor pada tahun lepas di Pixel 8 dan Pixel 8 Pro yang menggunakan AI generatif untuk menghasilkan suntingan kompleks seperti mengubah kedudukan objek dan mengubah warna langit di dalam foto.

Melalui kemaskini ini, alatan berkenaan akan diperluaskan ke seluruh peranti Pixel tanpa sekatan had penggunaan. Manakala bagi pengguna peranti iOS dan Android lain pula, ia akan dihadkan kepada 10 simpanan (saves) Magic Editor untuk setiap bulan, kecuali jika anda melanggan perkhidmatan Google One.

Penawaran alatan suntingan foto menggunakan AI ini pastinya memberikan kesan terhadap alatan suntingan lain yang diperkenalkan oleh pengeluar-pengeluar peranti lain. Antara pengeluar yang telah memperkenalkan alatan suntingan berasaskan AI termasuklah Samsung menerusi Galaxy AI, serta OnePlus dan OPPO melalui alatan AI Eraser.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.