Utama Telco YTL YTL akan menjadi syarikat telekomunikasi pertama tawarkan 5G dengan DNB

YTL akan menjadi syarikat telekomunikasi pertama tawarkan 5G dengan DNB

YES 4G akan jadi YES 5G?

1122
0

Digital Nasional Berhad (DNB) akan mengadakan acara pada pagi esok untuk melancarkan perkhidmatan 5G di Malaysia. Dalam pada masa yang sama, YTL Communications juga akan mengadakan pertunjukan Yes 5G selepas acara DNB bagi mempertontonkan penggunaan teknologi 5G.

Menerusi jemputan media yang dihantar, YTL Communications menyatakan pihaknya merupakan syarikat telekomunikasi utama pertama yang melancarkan perkhidmatan 5G.

Bagaimanapun, TM baru-baru ini turut menyatakan perkara yang sama melalui penyertaannya di dalam ujian pengguna 5G dengan DNB bagi pelanggan pascabayar Unifi Mobile.

Sebelum ini, pengendali-pengendali rangkaian mudah alih (MNO) belum menandatangani perjanjian komersil disebabkan oleh Reference Access Offer (RAO) yang masih lagi belum dimuktamadkan. Tidak dapat dipastikan sama ada YTL Communications telah menandatangani perjanjian tersebut. Atau sekadar menjadi yang pertama menawarkan perkhidmatan 5G melalui ujian pengguna.

YTL buat masa ini mengendalikan 100% rangkaian 4G LTE dengan VoLTE. Tidak seperti syarikat telekomunikasi lain, YTL tidak mempunyai rangkaian 2G atau 3G. Ini kerana mereka telah beralih dari WiMAX kepada LTE pada 2016.

Sungguhpun tidak mempunyai liputan yang meluas seperti rangkaian telekomunikasi lain yang telah lama bertapak, YTL menyediakan pelan mudah alih antara yang termurah di pasaran.

Akses 5G Percuma

Seperti yang diumumkan oleh DNB pada minggu lepas, rangkaiannya telah pun sedia untuk menawarkan perkhidmatan 5G. Akses borong ke rangkaian berkenaan secara percuma juga ditawarkan kepada syarikat telekomunikasi sehingga 31 Mac 2022.

Akses percuma ini akan ditawarkan melalui tapak-tapak pemancar 5G di sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan kawasan-kawasan terpilih di Kuala Lumpur menjelang 31 Disember 2021. Tawaran ini juga akan diperluaskan secara berperingkat sehingga tarikh tersebut ke kawasan-kawasan lain yang akan diumumkan kelak.

DNB menjanjikan rangkaiannya mampu mencapai kelajuan minimum 100Mbps pada titik paling lemah di dalam sesebuah kawasan liputan. Menjelang akhir tahun ini, terdapat 500 tapak pemancar bersedia untuk meliputi 10% dari populasi. Sebanyak 4,018 tapak lagi akan diperluaskan merangkumi negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

Pun begitu, model Rangkaian Borong Tunggal (SWM) 5G yang dikelolakan oleh DNB ini sedang dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Terdapat kemungkinan syarikat-syarikat telekomunikasi lain dibenarkan untuk melancarkan rangkaian 5G masing-masing.

Keputusan ini dijangka akan dibuat menjelang Januari 2022 selepas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Kewangan (MOF) membentangkannya secara bersama kepada kabinet.

GSMA baru-baru ini telah menerbitkan laporan mengenai implikasi dari model rangkaian ini terhadap daya saing Malaysia. Laporan berkenaan menyebut model ini akan membawa kepada monopoli.

GSMA / DT Economics

Sebagai alternatif, perjanjian usahasama perkongsian rangkaian telekomunikasi mampu meningkatkan kualiti rangkaian, menurut laporan tersebut.

GSMA / DT Economics

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.