Vivo sebelum ini dilapor akan melancarkan Vivo S12, telefon pintar khusus untuk swafoto di pasaran China dalam bulan ini. Hari ini, Vivo telah mengesahkan Vivo S12 akan dilancarkan pada 22 Disember ini .
Iklan acah rasmi daripadanya setakat ini hanya mengesahkan kehadiran model tersebut tanpa sebarang maklumat mengenai spesifikasi serta rekaannya. Awal tahun ini, Vivo telah melancarkan Vivo S10 dan S10 Pro di China dan kedua-dua telefon ini akan diteruskan kesinambungannya melalui Vivo S12 dan S12 Pro.
Vivo S12 dan S12 Pro merupakan telefon pertama dari Vivo yang didatangkan dengan antaramuka OriginOS Ocean yang diumumkan di China pada minggu lepas. Jika S10 dahulu menggunakan MediaTek Dimensity 1100, Vivo S12 akan dilengkapkan dengan cipset yang lebih berkuasa, Dimensity 1200.
Gambar pengolokan bagi Vivo S12 Pro telah pun tersebar di alam maya dalam tempoh beberapa minggu sejak kebelakangan ini. Berdasarkan imej tersebut, didapati model telefon Vivo baharu ini menampilkan paparan rata bertakuk lebar yang menempatkan kamera hadapannya.
Berdasarkan imej tersebut juga, berkemungkinan telefon ini akan dilengkapkan dengan kamera utama 108MP pada unit tri-kamerannya. Bersama-sama dengannya, turut disertakan sistem dwi-kamera pada sebelah hadapannya yang mengandungi kamera utama 50MP dan ultra-lebar 8MP.
https://www.youtube.com/watch?v=HsSJaChY_YE
Vivo S12 yang dilengkapkan dengan cipset Dimensity 1200 juga didakwa menyokong pengecasan 44W. Walaubagaimanapun, tiada sebarang maklumat yang diperoleh berkenaan kapasiti baterinya.