Google dilaporkan telah mula memperkenalkan pelan langganan YouTube Premium Lite untuk pengguna di Malaysia. Pelan ini lebih berpatutan pada harga RM12.90 sebulan bermula Mei 2026 dan ditawarkan secara berperingkat.
Harganya sama dengan pelan Pelajar (Student) sedia ada, namun ia didatangkan dengan skop manfaat yang berbeza dan lebih terhad.
Pelan YouTube Premium Lite secara umumnya direka khusus untuk pengguna yang mahukan pengalaman tontonan dengan kurang gangguan iklan, tanpa perlu membayar harga langganan penuh.
Pengguna dapat menikmati sebahagian besar video tanpa gangguan iklan. Namun, iklan masih mungkin dipaparkan pada kandungan muzik, YouTube Shorts, serta ketika pengguna melayari aplikasi atau membuat carian.
Langganan ini mengekalkan kebolehan untuk memuat turun kandungan dan memainkan video di latar belakang (background play).
Pelan ini tidak menawarkan pengalaman pendengaran tanpa iklan di aplikasi YouTube Music. Keistimewaan tersebut kini kekal eksklusif untuk pelanggan pelan Premium standard.
Sebagai maklumat tambahan, YouTube baru-baru ini telah membuka fungsi mod PiP pada peranti mudah alih kepada pengguna percuma untuk video-video tertentu, yang sebelum ini merupakan ciri eksklusif berbayar.
YouTube kini secara rasminya menawarkan empat pilihan langganan untuk pasaran Malaysia. Pilihan tersebut merangkumi pelan Individu pada harga RM20.90 sebulan, pelan Pelajar pada harga RM12.90 sebulan, pelan Keluarga berharga RM41.90 sebulan, dan pelan Premium Lite baharu.









