YTL AI Labs telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MyDigital ID baru-baru ini untuk mengintegrasikan identiti digital nasional sebagai kaedah log masuk utama dan selamat bagi platform chatbot kecerdasan buatan (AI) tempatan, ILMUchat.
Kerjasama ini mensasarkan penyediaan akses yang lebih lancar kepada pengguna tempatan melalui pengalaman Log Masuk Tunggal atau Single Sign-On (SSO).
Melalui sokongan ini, rakyat Malaysia kini boleh menggunakan perkhidmatan chatbot AI berkenaan tanpa perlu mencipta kelayakan identiti baharu.
Menurut kenyataan media YTL AI Labs, pengguna sebelum ini diwajibkan mendaftar masuk ke aplikasi menggunakan e-mel dan kata laluan, namun penggunaan MyDigital ID ini akan menghapuskan keperluan pengurusan kata laluan yang pelbagai merentas platform demi kemudahan dan keselamatan pengguna.
Pelaksanaan ciri log masuk bersepadu ini menjadikan ILMUchat sebagai salah satu perkhidmatan terbaharu yang memperluaskan lagi ekosistem MyDigital ID di Malaysia.
Terdahulu, platform MyDigital ID telah pun menjalinkan kerjasama dengan 15 institusi kewangan, termasuk pihak bank serta pelbagai syarikat teknologi kewangan (fintech) di seluruh negara.









