Peningkatan mendadak tahap pencemaran karbon dioksida di atmosfera akibat aktiviti pembakaran bahan api fosil kini didapati secara senyap mengurangkan kandungan vitamin dan mineral dalam tanaman ruji manusia, sekali gus mendedahkan masyarakat global kepada krisis kesihatan yang kritikal.

Kajian mendapati banyak tanaman penting dunia seperti beras, gandum, kentang, dan kekacang kini mengandungi nutrisi yang lebih rendah berbanding generasi sebelumnya.

Peningkatan gas rumah hijau mengubah cara tumbuhan membesar secara fisiologi, di mana ia meningkatkan kandungan karbohidrat dalam tanaman sambil mengurangkan nutrien penting seperti zink dan protein.

Situasi ini dikhuatiri pakar akan mencetuskan wabak “kelaparan tersembunyi” (hidden hunger) dalam skala global. Dalam senario ini, individu mungkin mengambil kalori yang mencukupi untuk kelangsungan hidup. Namun tetap berhadapan dengan masalah kekurangan nutrien asas yang diperlukan oleh tubuh untuk berkembang dan berfungsi secara optimum.

Menurut Kristie Ebi, Profesor di Pusat Kesihatan dan Persekitaran Global Universiti Washington, “Diet yang kita amalkan hari ini mempunyai ketumpatan nutrisi yang lebih rendah berbanding apa yang dimakan oleh datuk nenek kita, walaupun kita makan makanan yang sama”.

Ancaman terhadap rantaian bekalan makanan

Fenomena penyusutan nutrisi ini mempunyai kaitan dengan ancaman pelepasan karbon terhadap rantaian bekalan makanan.

Lebihan karbon dioksida di udara membantu tumbuhan menghasilkan lebih banyak karbohidrat seperti kanji dan selulosa. Namun, tanpa peningkatan dalam penyerapan mineral, tanaman gagal menghasilkan protein dan asid penting. Menjadikan setiap gigitan makanan lebih sarat dengan gula tetapi kurang bernutrisi.

Tinjauan menyeluruh terhadap 32 sebatian dalam 43 jenis tanaman mengesahkan situasi tersebut. Hampir semua tumbuhan yang menjadi sumber diet asas manusia mengalami kemerosotan kualiti akibat paras karbon dioksida yang tinggi.

Negara berpendapatan tinggi mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang kukuh untuk mengatasi perubahan ini. Namun impak yang paling memusnahkan bakal ditanggung oleh populasi termiskin dan paling rentan di negara-negara membangun.

Pakar menegaskan strategi terbaik untuk melindungi kelestarian kesihatan manusia sejagat adalah dengan menghentikan pelepasan karbon dioksida yang melampau ke atmosfera.

Usaha pencegahan yang agresif ini amat penting untuk mengekalkan nilai nutrisi tanaman ruji. Ia juga kritikal bagi mengelakkan krisis perubahan iklim yang lebih buruk seperti gelombang haba dan kemarau panjang yang mengancam keselamatan makanan global.

Imej pengatas Carbon Emissions Stock photos by Vecteezy

Tinggalkan komentar