Microsoft kini melancarkan ‘Xbox Mode’ di dalam peranti Windows 11. Ia merangkumi komputer riba, komputer meja, dan tablet di pasaran terpilih.
Ciri ini menghadirkan pengalaman bermain permainan video ala konsol yang lebih imersif dan mudah diakses terus menerusi komputer peribadi (PC) pengguna.
Xbox Mode direka khas bagi detik-detik apabila pemain mahukan kelancaran dan fokus sepenuhnya terhadap judul permainan video mereka pada platform Windows 11.
Menampilkan antarmuka yang diinspirasikan daripada konsol Xbox, ia menyusun pustaka permainan dan senarai judul yang baru dimainkan agar mudah dijangkau. Di samping itu juga ia memastikan elemen gangguan di latar belakang dikurangkan.
Menurut Microsoft, Xbox Mode menambah satu lagi cara untuk menikmati permainan pada PC dengan pengalaman skrin penuh. Ia dioptimumkan untuk alat kawalan dan dibina khusus untuk bermain.
Pemain kini boleh melayari menu dan melancarkan sebarang permainan menggunakan alat kawalan (controller) sepenuhnya.
Sistem ini membenarkan pemain bertukar dengan pantas di antara mod Xbox dan paparan desktop Windows 11 pada bila-bila masa mengikut keperluan pengguna.
Ia menyediakan akses bersepadu merangkumi permainan daripada Xbox Game Pass bersama-sama judul yang dipasang menerusi kedai permainan PC terkemuka yang lain.
Ciri ini juga membantu meminimumkan gangguan sistem atau perisian pihak ketiga bagi memastikan pengalaman pemain tidak terganggu ketika bermain.
Ciri ini sedang diedarkan secara berperingkat melalui kemaskini terkini Windows 11. Ketersediaannya dijangka akan diperluas kepada lebih ramai pengguna dalam tempoh beberapa minggu akan datang.








