Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini telah mengumumkan kesemua 10,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar ibu kota telah dinaik taraf dengan teknologi pengecaman wajah beresolusi tinggi.
Naik taraf ini mampu membantu pihak berkuasa memantau, mengenal pasti pesalah undang-undang, dan memberi maklum balas dengan pantas.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan berskala besar bagi sistem bersepadu yang menghubungkan keupayaan pemantauan, penguatkuasaan, dan pengurusan pusat bandar.
Pengumuman dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud. Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.
Menurut Hannah Yeoh, ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menjadikan bandar raya lebih selamat.
Dalam pada masa yang sama, Datuk Fadil Marsus menyatakan peningkatan ini memberi pihak polis masa tindak balas yang lebih pantas. Kesannya, polis menjangkakan penurunan dalam jenayah fizikal. Beliau turut menambah pemantauan CCTV ini telah terbukti meningkatkan keupayaan pengesanan suspek dan siasatan sebanyak 50 peratus.
Teknologi pengecaman wajah menggunakan sistem beresolusi tinggi memudahkan pengecaman identiti pesalah laku. Sekaligus memudahkan tangkapan dan pertuduhan.
Satu sempadan maya (geo-fencing) direka khusus untuk mengawal selia dan memantau kawasan-kawasan berisiko tinggi.
Sistem keupayaan analitik juga digunakan untuk menanda dan mengesan pergerakan mencurigakan sebelum melaporkannya secara automatik ke Pusat Kawalan dan Arahan Kuala Lumpur (KLCCC).
Kamera di kawasan tumpuan pelancong turut dilengkapkan pembesar suara bagi memberi amaran secara terus. Contohnya amaran kegiatan jurugambar haram di sekitar KLCC.
Penaiktarafan sistem pengawasan secara menyeluruh ini menandakan langkah proaktif DBKL dalam memanfaatkan inovasi teknologi canggih demi mengekang jenayah. Integrasi sistem berpusat ini dijangka bakal memberikan impak dalam meningkatkan kualiti keselamatan penduduk dan pelancong di Kuala Lumpur.










