Utama Mobile Aplikasi WhatsApp Channels mula ditawarkan kepada Pengguna Global

WhatsApp Channels mula ditawarkan kepada Pengguna Global

292
0
WhatsApp Channels

WhatsApp telah mengumumkan Channels kini ditawarkan kepada seluruh pengguna global di lebih 150 buah negara. Ciri ini pertama kali dilancarkan pada bulan Jun lalu dan telah mula hadir ke beberapa buah negara terpilih seperti Malaysia sepanjang Julai baru-baru ini. Turut diperkenalkan alatan-alatan baharu yang bersesuaian fungsi ciri berkenaan.

Channels ditempatkan pada tab baharu “Updates” yang membolehkan pengguna melihat kemaskini status dan juga saluran-saluran (Channels) yang anda ikuti. Ia merupakan alatan hebahan sehala persendirian untuk individu dan organisasi untuk hantaran pemakluman secara kronologi. Pengguna yang mengikuti saluran-saluran tersebut juga dilindungi privasinya.

Melalui kemaskini ini, ciri tersebut juga memperluaskan direktorinya yang membolehkan pengguna mencari saluran-saluran baharu untuk diikuti. Saluran-saluran berkenaan juga ditapis secara automatik mengikuti lokasi negara pengguna dan disusun mengikut paling terkini, paling aktif atau paling banyak pengikut.

Pengguna juga kini boleh memberikan reaksi terhadap kandungan menggunakan emoji dan melihat jumlah bilangan reaksi. Walaubagaimanapun, identiti pengguna yang memberikan reaksi tersebut akan dilindungi dari pandangan pengguna lain.

Pentadbir-pentadbir saluran juga boleh menyunting kemaskini untuk tempoh 30 hari sebelum ia dipadamkan secara automatik.

Hantaran pemakluman dari saluran yang dipanjangkan (forward) kepada pengguna atau kumpulan borak lain juga akan mempunyai pautan kembali (linkback) ke saluran yang asal. WhatsApp turut menyatakan pihaknya akan menambah lebih banyak lagi ciri berdasarkan maklumbalas pengguna.

Ikuti saluran rasmi WhatsApp Harian Teknologi untuk mengikuti perkembangan teknologi mutakhir dalam dan luar negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.