WhatsApp baru-baru ini mengumumkan pengguna kini boleh membuat tempahan awal ‘nama pengguna’ (username) sebelum ciri tersebut dilancarkan sepenuhnya pada hujung tahun ini.
Susulan pengumuman tersebut, platform pemesejan itu mengeluarkan penjelasan terperinci bagi menjawab persoalan orang ramai berhubung aspek keselamatan.
Syarikat itu menegaskan pelbagai langkah perlindungan telah disediakan bagi mengurangkan risiko penyamaran, penipuan (scam), dan hubungan yang tidak diingini.
Username reservations are here, as more and more people claim theirs, here’s answers to the top questions you’re asking ⬇️
Q: Are usernames mandatory?
A: Nope, they are optional.
Q: What if the username I want isn’t available?
A: There’s a few reasons you might not be able to…
— WhatsApp (@WhatsApp) July 1, 2026
Pilihan Kepada Pengguna
Menurut WhatsApp, penggunaan nama pengguna adalah pilihan sepenuhnya dan bukannya satu kewajipan. Pengguna masih boleh meneruskan penggunaan aplikasi dengan nombor telefon masing-masing tanpa perlu menetapkan nama pengguna baharu.
Ciri ini direka khusus untuk membolehkan orang ramai berhubung tanpa perlu mendedahkan nombor telefon peribadi mereka.
Sekiranya pengguna menempah nama pengguna sekarang, mereka masih boleh menukarnya pada masa hadapan tertakluk kepada ketersediaan nama tersebut.
Tempahan awal ini diperkenalkan bagi membolehkan pengguna mendapatkan nama pilihan, sementara WhatsApp mengumpul maklum balas sebelum pelancaran rasmi.
Dakwaan Penjualan Adalah Palsu
WhatsApp turut menafikan laporan pihak luar yang mendakwa wujud aktiviti menjual atau menempah nama pengguna popular untuk orang lain.
Syarikat itu menegaskan dakwaan tersebut adalah palsu kerana nama pengguna untuk tokoh awam dan entiti dilindungi hanya boleh ditempah oleh pemilik asal yang disahkan.
Selain itu, nama pengguna Instagram dan Facebook sedia ada telah dikhaskan untuk pemilik sah masing-masing. Untuk menggunakan nama yang sama di WhatsApp, pengguna perlu memautkan akaun Instagram atau Facebook mereka secara sementara untuk tujuan pengesahan.
Pihak WhatsApp juga menyarankan penggunaan alat penjana nama (generator) terbina dalam sekiranya nama pengguna pilihan telah diambil oleh orang lain.
Ciri Keselamatan Dan Privasi
Beberapa perlindungan keselamatan akan diperkenalkan bersama fungsi ini bagi mengekang masalah spam dan penyamaran identiti. Apabila menerima mesej daripada individu yang tidak dikenali melalui nama pengguna, WhatsApp akan memaparkan maklumat konteks seperti negara asal pengirim.
Satu amaran juga akan dipaparkan bagi menunjukkan ia adalah perbualan pertama kali antara kedua-dua pihak. Selain itu, nama pengguna di WhatsApp tidak boleh dicari secara umum melalui fungsi carian awam. Ciri keselamatan sedia ada seperti menyekat (block) dan melaporkan (report) kekal tersedia, dan syarikat akan sentiasa memantau laporan ini untuk membanteras penipu (scammer).
Kunci Nama Pengguna
Bagi menambah lapisan perlindungan tambahan, WhatsApp bakal memperkenalkan ciri “Username Key” atau Kunci Nama Pengguna.
Apabila ciri ini diaktifkan, individu luar perlu mengetahui kedua-dua nama pengguna dan kunci rahsia tersebut sebelum mereka boleh memulakan perbualan.
Fungsi inovatif ini bertindak sebagai kata laluan untuk menghalang sebarang bentuk komunikasi yang tidak diundang daripada pihak tidak dikenali.
Pengguna bebas menetapkan semula kunci nama pengguna mereka pada bila-bila masa bagi menyekat sebarang percubaan hubungan baharu menggunakan kunci lama.













