Utama Perkakasan Teknologi UltraRAM dijangka mampu gabungkan RAM dan storan ke dalam satu komponen

Teknologi UltraRAM dijangka mampu gabungkan RAM dan storan ke dalam satu komponen

484
0
Imej kredit dari Lancaster University

Teknik pembuatan cip bharu, storan SSD lebih pantas serta penggunaan AI dan pembelajaran mesin merupakan sebahagian inovasi terkini dalam meningkatkan prestasi dan kecekapan komputer moden.

Kini, sepasukan penyelidik di Universiti Lancaster, United Kingdom bakal menempa pencapaian teknologi yang lebih besar.

Dikenali sebagai UltraRAM, ia menggabungkan apa yang terbaik dari RAM dan storan SSD bagi menyediakan versi RAM ultra-pantas yang tidak akan membuang datanya apabila dimatikan. Sebelum itu, perlu difahami asas dua komponen perkomputeran yang antara paling kerap digunakan pada masa kini.

Bagi anda yang memiliki komputer desktop atau laptop moden, kebiasaannya ia mengandungi pemacu storan pepejal, SSD.

Komponen yang menggunakan memori flash ini dikategorikan sebagai tidak-meruap (non-volatile) kerana mengekalkan maklumat didalamnya selepas anda mematikan komputer anda. Sebaliknya, jika anda menyimpan fail-fail ke dalam RAM (antara jenis memori yang meruap) ia akan hilang sebaik sahaja komputer anda dimatikan.

Atas sebab itu, RAM seperti kebanyakan yang terdapat di pasaran pengguna hanya menyimpan data untuk seketika sebelum ia diproses.

Apabila anda membuka sesebuah fail atau melancarkan sesebuah program, data berkenaan diambil dari SSD anda (atau HDD). Ia kemudiannya akan disuapkan ke RAM, di mana ia akan dihantar dengan segera ke CPU. Anda juga boleh menggunakan storan tidak meruap, seperti SSD untuk dijadikan sebagai RAM, namun storan paling pantas sekalipun tidak mampu menandingi kelajuan DRAM.

Jadi, buat masa ini storan dan RAM di dalam sistem perkomputeran digunakan secara berasingan, namun saling melengkapi antara satu sama lain. Melalui penemuan teknologi baharu ini, berkemungkinan kedua-duanya mampu digabungkan untuk mengoptimasikan pemindahan data di dalam sistem perkomputeran.

Memperkenalkan UltraRAM

Sekumpulan saintis di Jabatan Fizik dan Kejuruteraan, Universiti Lancaster di United Kingdom menerangkan di dalam sebuah kertas penyelidikan mengenai RAM jenis bukan meruap generasi berikutnya yang dinamakan sebagai UltraRAM. Ia dijangka mampu menyimpan fail ketika ketiadaan bekalan kuasa, namun mampu mempunyai kelajuan seperti DRAM.

Imej kredit dari Lancaster University

Satu ketika nanti, ini merupakan komponen gabungan yang terbaik mampu berperanan sebagai storan dan memori sesebuah komputer. Boleh dikatakan, ia merupakan sejenis memori universal.

“Extrapolated retention times in excess of 1,000 years and degradation-free endurance tests of over 10^7 program-erase cycles prove that these memories are nonvolatile and have high endurance,”

Sains dan teknik disebalik UltraRAM adalah amat rumit untuk dijelaskan secara terperinci. Oleh itu, bagi anda yang berminat untuk memahaminya, anda dijemput untuk membaca kertas penyelidikan yang disediakan secara dalam talian.

Imej kredit dari Lancaster University

Secara ringkasnya, teknik ini menggunakan sifat spesifik di dalam bahan semikonduktor yang biasanya digunakan untuk LED dan laser. Penghasilan RAM/storan hibrid ini juga mampu menjadikan kos pengeluarannya dikurangkan. Ia juga seterusnya boleh digunakan pada peranti-peranti lain seperti jam tangan pintar, konsol, dan pelayan. Ia juga tidak terhad hanya pada komputer dan telefon pintar semata-mata.

Sebelum ini pelbagai usaha untuk membawakan ciptaan gabungan RAM dan storan ke peringkat arus perdana. Namun, cubaan-cubaan sebelum ini menemui jalan buntu atas pelbagai. Antaranya  seperti terlalu mahal, terlalu perlahan atau tidak sesuai untuk dibuat pengeluaran besar-besaran.

Jika masalah-masalah berkenaan dapat diatasi oleh pasukan projek dari Universiti Lancaster ini, UltraRAM dijangka mampu membawakan perubahan besar dalam teknologi peranti di masa depan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.