Selepas Kemaskini Windows 10 May 2020, Microsoft telah memperkenalkan penambahbaikan penggunaan memori pada Edge menerusi peningkatan fungsi ‘Segment Heap’ pada sistem operasi berkenaan.
Fungsi ini membawakan peningkatan penggunaan memori untuk aplikasi Win32 dan menjanjikan peningkatan sebanyak 27% untuk Edge. Ianya turut diperkenalkan ke dalam projek sumber terbuka Chromium untuk tujuan pengujian pelayar Chrome bulan lalu.
Bagaimanapun, ujian mendapati peningkatan memori berkenaan memberi kesan terhadap penggunaan CPU yang membawakan kemerosotan prestasi CPU sekitar 10% hingga 13%.
Pasukan Chrome telah mula menjejaki masalah ini pada awal bulan dan telah memutuskan untuk melumpuhkan fungsi ‘segment heap’ di dalam pelayar secara lalai.
Ujian terhadap Chrome versi beta 84.0.4147.85 melalui Windows 10 terkini versi build 19041.329 telah mengesan peningkatan sekitar 9.3% penggunaan CPU. Turut dikenalpasti, komputer yang mempunyai CPU bilangan yang teras yang banyak lebih terkesan.
Pihak Microsoft telah maklum berkenaan hal ini dan ujian dari pihaknya sendiri turut mengesan delta dalam prestasi CPU. Pasukan Chrome menyatakan lebih banyak telemetri dari Chrome menggunakan versi 2004 diperlukan bagi memperhalusi kesan dari pembaikan pada Windows 10 tersebut.
Gergasi enjin carian ini turut merancang untuk melihat data telemetri dari Chrome versi 84 dan 85 yang menggunakan Windows 10 terkini.
Menurut Google, peningkatan penggunaan CPU sehingga 13% sehingga menyebabkan kemerosotan prestasi sebanyak 10% pada bacaan Speedometer 2.0 adalah terlalu besar untuk diabaikan.
Dalam perkembangan yang sama, Microsoft turut menangguhkan terbitan Dev dan Beta bagi menyeleraskannya dengan pelancaran Chromium.