Komputer yang dijaga dengan rapi mampu bertahan dan boleh digunakan dengan lancar untuk bertahun-tahun lamanya. Itupun jika anda sebagai pengguna rajin melakukan penyelenggaraan pada komputer berkenaan. Jika diabaikan, masalah-masalah kecil yang patut boleh diselesaikan dengan mudah, boleh menjadi masalah yang lebih besar andai ianya dibiarkan.

Paling teruk, jangka hayat komputer anda juga boleh jadi lebih pendek dari yang sepatutnya dan hal ini lebih memberi kesan terhadap laptop berbanding desktop kerana faktor reka bentuknya itu sendiri.

Jadi, bagi membantu anda melakukan penyelenggaraan komputer sendiri, berikut adalah perisian-perisian yang yang patut anda sebagai pengguna komputer tahu. Perisian ini juga adalah percuma untuk dimuat turun dan digunakan.

Nyahpasang Aplikasi Sepenuhnya

Tahukah anda, menyahpasang aplikasi di dalam Windows pada kebiasaannya akan meninggalkan jejaknya di dalam sistem. Jejak-jejak berkenaan sungguhpun kecil, akan bertambah dari masa ke semasa hingga mampu memakan ruang storan anda dan memberikan kesan terhadap prestasi komputer.

Anda boleh cuba menggunakan perisian Geek Uninstaller untuk melakukannya dan ianya mudah untuk digunakan. Ia akan mengimbas sistem anda untuk sebarang fail-fail berkaitan yang mungkin telah ditinggalkan oleh aplikasi-aplikasi yang telah dinyahpasang sebelum ini dan membuangnya.

Ia pantas dan mudah alih, justeru ia boleh digunakan melalui pemacu USB dan digunakan pada mana-mana komputer.

Selain dari Geek Uninstaller, Revo Uninstaller turut sesuai dijadikan alternatif kepada perisian menyahpasang aplikasi-aplikasi Windows.

Pembersihan Fail dan pengoptimasian

Sewaktu anda menggunakan komputer, terdapat sesetengah fail yang perlu anda padamkan pada sesuatu ketika. Ini termasuklah cache pelayar web, fail pemasangan sementara, thumbnail Windows, fail log sistem, crash dumps dan sebagainya. Kerja-kerja memadamkannya secara manual tentunya melecehkan.CCleaner menawarkan fungsi memadamkan fail-fail ini dengan lebih mudah. Ia dibahagikan kepada dua bahagian, satu untuk Windows dan satu lagi untuk aplikasi-aplikasi pihak ketiga. Anda boleh menyemaknya dengan menanda atau membuangkan tanda pada fail-fail tertentu dan klik Run Cleaner.

Informasi sistem komputer secara mendalam

Maklumat-maklumat berkenaan CPU, GPU, RAM, storan, papan induk dan perkakasan-perkakasan lain mungkin tidak dapat diketahui dengan terperinci oleh sebahagian besar pengguna komputer. Jika dapat mengetahuinya pun, lambat-laun kita sendiri akan terlupa tentangnya.Oleh yang demikian, kita mungkin perlu menggunakan perisian seperti Speccy bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang terperinci berkaitan perkakasan-perkakasan yang digunakan oleh komputer kita. Maklumat ini amat penting apabila kita ingin melakukan penggantian perkakasan yang bermasalah ataupun ingin menaik taraf perkakasan mengikut kesesuaian sistem.

Imbasan dan membuang Malware

Malware sememangnya mendatangkan masalah yang besar pada mana-mana komputer. Dari memberikan masalah komputer lembab, dikawal oleh penggodam, data-data dikunci oleh ransomware hinggalah kecurian data-data peribadi.

Perisian seperti Malwarebyte adalah perisian anti-malware yang ditawarkan secara percuma. Pangkalan data berkenaan jangkitan dikemaskini setiap hari dan untuk itu ia mampu mengesan dan membuang virus, cecacing, spyware dan anasir-anasir lain yang terkini.

Versi percuma hanya menawarkan fungsi imbasan penuh secara manual. Namun, ia lebih dari memadai untuk anda melakukan kerja-kerja membersihkan komputer dari ancaman malware.

Penganalisis Ruangan Cakera

Tak kira ‘cekang’ mana skill hangpa dalam komputer, anda tentu mempunyai ruangan storan yang dibazirkan di dalam sistem anda. Jumlah yang dibazirkan ini bergantung pada keadaan dan juga cara penggunaannya. Ada sesetengah ruangan storan yang dibazirkan ini mencecah angka giga.

Antara masalah untuk menguruskan ruang storan ini adalah sistem Windows itu sendiri yang secara puratanya mempunyai ribuan fail-fail dan folder-folder. Oleh itu, adalah sukar untuk mengenalpasti fail apakah yang tidak penting tetapi memakan ruang yang besar pada komputer anda.

Perisian WinDirStat dapat membantu anda menjejaki fail-fail yang memakan ruang yang besar pada storan anda dengan lebih mudah. Ia mengimbas dan seterusnya akan memperincikannya dengan memaparkan mengikut turutan susunan folder-folder berdasarkan saiz.

Penutup

Lima perisian percuma yang disenaraikan di atas merupakan di antara perisian-perisian penyelenggaraan yang agak popular dan jika anda mempunyai saranan dan pendapat berkenaan perisian-perisian penyelenggaraan ini, sila nyatakan pada ruangan komentar di bawah.

Imej cover diperoleh dari iStock

1 KOMEN

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.