Utama Android Oppo Ulasan OPPO Find X5 Pro; Tampilkan kamera yang dibangunkan bersama Hasselblad

Ulasan OPPO Find X5 Pro; Tampilkan kamera yang dibangunkan bersama Hasselblad

614
0

OPPO secara rasminya telah melancarkan telefon pintar mercu Find X5 Pro ke pasaran Malaysia. Ia menawarkan pelbagai penambahbaikan perkakasan seperti penggunaan cipset mercu terkini Qualcomm, bateri yang lebih baik dan banyak lagi.

Sebagaimana kelaziman siri OPPO Find X yang terdahulu, siri terbaru ini juga membawakan inovasi baharu dari OPPO. Kali ini, OPPO Find X5 Pro menampilkan keupayaan perkakasan dan kecerdasan buatan untuk pengimejan melalui unit pemprosesan neural (NPU) baharunya, MariSilicon X.

Malah, kamera-kameranya juga menerima sentuhan pembangunan secara bersama dengan pengeluar kamera terkemuka Sweden, Hasselblad.

Spesifikasi OPPO Find X5 Pro

OPPO Find X5 Pro
Paparan6.7-inci, 120Hz, WQHD+, 3216 x 1440 piksel, nisbah 20:9
CipsetQualcomm Snapdragon 8 Gen 1
GPUAdreno 730
RAM12GB
Storan256GB
Kamera (Belakang)50MP f/1.7 (lebar) 50Mp f/2.2 (ultra-lebar), 13MP f/2.4 2x zum optikal (telefoto)
Kamera (Depan)32MP f/2.4
AudioPembesar suara stereo dengan Dolby Atmos
Bateri5,000mAh dengan sokongan pengecasan 80W berwayar, 50W nirwayar
Ukuran163.7 x 73.9 x 8.5 mm
KetersambunganGSM / CDMA / HS{PA / CDMA2000 / LTE / 5G, Bluetooth 5.2, NFC, USB-C 3.1, Dwi-band Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac/6e
WarnaCeramic White, Glaze Black
Kad SIMDwi-SIM nano
HargaRM4,999

Secara ringkasnya, OPPO menawarkan paparan melengkung AMOLED 6.7-inci, cipset Snapdragon 8 Gen 1, RAM 12GB dan storan dalaman 256GB. Ia juga menampilkan bateri 5,000mAh dengan sokongan pengecasan secara berwayar sehingga 80W dan secara nirwayar 50W.

Telefon dengan antaramuka ColorOS 12.1 berasaskan Android 12 ini juga menawarkan sistem pengimejan yang mengandungi satu kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 50MP, kamera telefoto 13MP dan kamera swafoto 32MP.

Rekaan OPPO Find X5 Pro

Rekabentuk luaran OPPO Find X5 Pro ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri yang hampir sama seperti siri Find X keluaran tahun lepas. Ia kelihatan persis rekaan kereta lumba dan paparan melengkungnya menyerlahkan lagi ciri rekaannya. Tambahan pula warna Glaze Black seperti warna unit untuk ulasan ini menambahkan lagi seri telefon pintar ini.

Secara peribadi saya merasakan permukaan telefon pintar ini agak licin dan dibimbangi mudah terjatuh. Tambahan pula faktor harganya yang agak tinggi membuatkan saya menjadi lebih risau. Untuk anda yang berhasrat memiliki telefon pintar ini, anda sebaiknya menggunakan bekas silikon yang disediakan bersama-sama kotak pembelian OPPO Find X5 Pro.

Lain-lain ciri masih lagi lagi sama seperti kebiasaan rekaan telefon pintar OPPO dengan butang fizikal kawalan audio di sebelah kiri dan butang kuasa pada sebelah kanan. Telefon dengan kerintangan air dan debu IP68 ini juga amat selesa dipegang dan dikendalikan.

Paparan OPPO Find X5 Pro

Paparan melengkung AMOLED 6.7-inci OPPO Find X5 Pro menawarkan resolusi secara lalalnya 2412 x 1080 dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Atas sebab itu, telefon pintar ini mampu menyediakan imej yang lebih terperinci dan menyerlah terutamanya apabila melihat foto, video dan permainan video.

Pun begitu, telefon ini boleh ditetapkan pada resolusi yang lebih tinggi iaitu WQHD+ (3216 x 1440), namun ia akan menggunakan lebih kuasa bateri. Bagi anda yang mengambil berat soal kadar penggunaan bateri, anda mungkin boleh kekal dengan tetapan lalai resolusi telefon pintar ini.

Selain dari kualiti pada paparannya, telefon ini juga amat menyerlah pada kualiti audionya melalui pembesar suara stereo dengan penalaan Dolby Atmos. Anda dapat menikmati kualiti bunyi yang memuaskan untuk kegunaan muzik, menonton filem/video, permainan video, dan juga persidangan dalam talian.

Antaramuka OPPO ColorOS yang berasaskan Android 12 juga amat membantu dari segi kepenggunaan di samping turut menyediakan animasi perubahan tindakan yang menarik seperti ketika mengecas telefon dan juga menyahkunci melalui imbasan cap jari. Berdasarkan pandangan saya, menyahkunci melalui cap jari pada skrin paparannya boleh dikirakan agak pantas. Sokongan keselamatan biometrik pada telefon pintar ini turut menyediakan pilihan secara imbasan wajah.

Prestasinya yang melalui penggunaan cipset Snapdragon 8 Gen 1 dengan konfigurasi memorinya sememangnya hebat sebagaimana yang dijangkakan oleh telefon pintar mercu. Makna kata, OPPO Find X5 Pro menawarkan keupayaan yang melebihi jangkaan dalam menguruskan pelbagai tugasan seperti bertukar-tukar aplikasi, suntingan foto dan video yang berat dan juga rakaman video beresolusi tinggi.

Untuk permainan video, telefon ini mampu mengendalikan permainan mudah alih berkeperluan grafik tinggi seperti Genshin Impact. Pun begitu, memainkan untuk satu tempoh yang agak panjang akan menjadikan telefon ini menjadi agak panas apabila dipegang. Cuma ia tidaklah begitu panas umpama sebuah seterika.

Penggunaan bateri OPPO Find X5 Pro boleh dikatakan antara yang terbaik dikalangan telefon-telefon pintar mercu. Ia mampu memainkan penstriman kandungan video secara terus-menerus selama 12 jam dengan berbaki sekitar 10~15% kapasiti baterinya. Melalui pengecas 80W yang disertakan bersama-sama telefon pintar ini, anda boleh mengecasnya dengan “ultra-fast charging” dan dapat dipenuhkan sehingga 100% dalam tempoh kurang dari sejam.

Kamera OPPO Find X5 Pro

Pengimejan yang ditawarkan oleh OPPO Find X5 Pro semangnya bukan kaleng-kaleng, ia menempatkan dua buah sensor Sony IMX766 50MP bagi kamera utama dan ultra lebarnya. Untuk kamera telefotonya pula, telefon ini menawarkan lensa 13MP dari Samsung.

Kesemua kamera-kameranya ini mampu mengambil foto beresolusi tinggi yang kaya dengan perincian dalam keadaan terang mahupun kurang pencahayaan. Keupayaan kamera ini juga dilengkapkan dengan penggunaan kecerdasan buatan dari MariSilicon X yang secara automatik menaikkan seri imej yang ditangkap. Ia seterusnya mampu menghasilkan kualiti imej yang hampir menyamai tahap profesional.

Bagaimanapun, anda mungkin mendapati terdapat sedikit hingar dan bintik-bintik apabila mengambil foto di dalam keadaan kurang pencahayaan dan juga gelap gelita. Walaubagaimanapun, perincian dan warna yang dikekalkan olehnya dikira mengkagumkan dan kelihatan seperti mempunyai pencahayaan yang baik.

Contoh-contoh foto yang diambil menggunakan kamera OPPO Find X5 Pro

Kamera Telefoto dengan Zum Optikal 2x
Zum Digital 5x
Night mode

Sungguhpun sistem kamera OPPO Find X5 Pro menawarkan kefungsian yang bagus, terdapat beberapa kekurangan seperti ketiadaan OIS pada kamera telefotonya. Fungsi berkenaan digantikan secara digital di dalam telefon pintar ini. Selain itu, keupayaan mengezum telefotonya hanya terhad pada 2x secara optikal dan untuk melakukan lebih lagi, ia akan dilakukan secara digital.

Pembangunan secara bersama dengan Hasselblad di dalam OPPO Find X5 Pro lebih tertunpu pada perisiannya dan ia secara tidak langsung melaraskan warna-warna di dalam imej dan video yang ditangkap oleh kamera telefon ini mengikut piawaian Hasselblad.

Malah, OPPO juga mengubah butang menangkap foto dan video di dalam aplikasi kameranya berwarna jingga mengikut tema Hasselblad. Selain itu, telefon ini juga menawarkan kamera dalam mod Hasselblad XPAN yang membolehkan anda mengambil foto di dalam nisbah aspek yang lebih besar, lengkap dengan penuras dan gaya seperi foto yang ditangkap menggunakan kamera filem.

Kesimpulan

Berharga RM4,999, OPPO Find X5 Pro dijangka bakal berdepan saingan sengit dengan pesaing-pesaingnya termasuk yang menawarkan harga yang lebih rendah. Pun begitu, ciri-ciri unik yang ditawarkan oleh telefon pintar ini boleh dikirakan berpadanan dengan harga yang ditawarkan olehnya.

Apa pun, OPPO Find X5 Pro dianggap sebagai antara telefon pintar mercu terbaik di pasaran pada ketika ini dari segi prestasi dan pengimejannya. Bagi anda yang ingin mendapatkan telefon pintar mercu baharu, OPPO Find X5 Pro mungkin antara pilihan yang anda boleh pertimbangkan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.