Utama Android Honor Ulasan HONOR Magic V3; Lebih Nipis daripada iPhone

Ulasan HONOR Magic V3; Lebih Nipis daripada iPhone

144
0

HONOR sebelum ini telah pun memperkenalkan telefon pintar boleh lipat yang paling nipis di pasaran pada ketika itu melalui Magic V2. Tidak berhenti setakat itu sahaja, HONOR kini sekali lagi meningkatkan daya usahanya dengan memperkenalkan telefon pinta boleh lipat lebih nipis dengan memperkenalkan Magic V3.

Ia amat nipis hinggakan bahagian bawahnya hanya mempunyai ruangan yang cukup-cukup sekadar boleh menempatkan port USB-C. Sekali pandang anda mungkin menyangka Magic V3 hanya telefon pintar biasa yang bukan jenis boleh lipat. Tambahan pula masih banyak lagi telefon pintar berbentuk candybar yang lebih tebal daripadanya. Ketebalannya apabila dilipat dua menjadi lebih kurang sama dengan tebal iPhone 15 Pro Max.

Kelebihan dan kekurangan HONOR Magic V3

Kelebihan

  • Amat nipis dan amat ringan
  • Kamera yang hebat
  • Kesan lipatan paparan dalaman yang semakin tidak ketara
  • Pengecasan Pantas

Kekurangan

  • Tahap ketahanan bateri masih boleh dipertingkatkan lagi
  • Boleh menjadi panas apabila memainkan permainan mudah alih
  • Harga tidak mesra poket

Pastinya, faktor ukuran saiz bukanlah satu-satunya penawaran menarik dari telefon pintar ini. Harga yang premium sudah tentu didatangkan dengan prestasi yang sepadan dan oleh yang demikian, HONOR Magic V3 menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 bersama-sama RAM 16GB, storan 512GB dan bateri berkapasiti 5,150mAh.

Kamera-kameranya juga tidak kurang hebatnya dengan sensor yang besar, apertur yang lebar dan juga beresolusi tinggi. Kesan khas Studio Harcourt untuk mod fotografi portret seperti pertama kali diperkenalkan pada HONOR 200 Pro turut tersedia padanya. Seterusnya, menjadikan ia antara pencabar terkuat di kalangan telefon pintar boleh lipat masa kini.

Pencabar utama telefon pintar boleh lipat tahun 2024

Pun begitu, saingan tahun 2024 untuk telefon pintar segmen ini kian rancak dengan pengeluar-pengeluar seperti Google, Samsung, OnePlus, dan Xiaomi turut menawarkan keupayaan masing-masing. Namun, di atas kertas HONOR Magic V3 dinyatakan mempunyai kelebihan yang paling banyak berbanding pengeluar lain buat masa ini selain lebih banyak tersedia di pasaran global lain.

Walaubagaimanapun, telefon pintar ini bukanlah amat sempurna tanpa sebarang cacat cela. Sebilangan kekurangan masih lagi wujud seperti tahap ketahanan penggunaan baterinya walaupun mempunyai kapasiti sebesar 5,150mAh. Mujurlah pengecasannya lebih pantas dan ia setidaknya mampu mengurangkan kelemahan tersebut.

Perisiannya pula mengambil pendekatan yang amat berbeza dengan antaramuka Android lain dengan rekabentuk dan pengendaliannya dilihat lebih banyak diinspirasikan dari iOS. Ia mungkin kurang diterima bagi sesetengah pengguna Android yang tegar dengan ciri-ciri berbilang tugasannya mungkin perlu sedikit penambahbaikan. Akan tetapi, terdapat sejumlah ciri-ciri hebat yang telah terbina di dalamnya yang kini saya sudah mula selesa menggunakannnya.

Ringkasnya HONOR Magic V3 boleh menjadi telefon pintar utama dan bagi pengguna yang inginkan peranti berskrin besar boleh dilipat, anda mungkin boleh mempertimbangkannya kerana saiznya yang nipis dan ringan. Telefon pintar ini sememangnya sebuah pencapaian teknologi yang menakjubkan dengan kualitinya yang premium.

HONOR Magic V3 pada awalnya dilancarkan di China pada 12 Julai 2024 sebelum dilancarkan ke pasaran gloabl di IFA 2024 pada 5 September 2024. Anda boleh membuat pra-tempahan bermula dari 5 September sehingga 12 September pada harga RM6,999 untuk konfigurasi RAM 12GB dan storan 512GB. Untuk pasaran Malaysia, ia boleh didapati dengan pilihan warna Tundra Green, Velvet Black dan Red.

Spesifikasi HONOR Magic V3

Ukuran156.6 x 74.0 x 9.2mm (dilipat), 156.6 x 145.3 x 4.35mm (dibuka)
Berat226g
PaparanSkrin luaran: 6.43-inci 120Hz LTPO OLED beresolusi 2376 x 1060 piksel, 5,000 nits (puncak) sokongan HONOR Magic Pen, HONOR Anti-scratch NanoCrystal Shield

Skrin utama: 7.92-inci 120Hz LTPO OLED boleh lipat beresolusi 2344 x 2156 piksel, 1,600 nits (puncak), 402 ppi, sokongan HONOR Magic Pen, Dolby Vision, HONOR Super-Armored Inner Screen

ResolusiSkrin luaran: 1060 x 2376 piksel, Skrin utama: 2156 x 2344 pixels
PemprosesanQualcomm Snapdragon 8 Gen 3
RAM16GB
Storan512GB
OSMagicOS 8.0, berasaskan Android 14
Kamera belakangutama 50MP (f/1.6), ultra-lebar 40MP (f/2.2), telefoto 50MP (f/3.0)
Kamera hadapan20 MP (f/2.2)
Bateri5,150mAh
PengecasanBerwayar 66W, nirwayar 50W

Rekabentuk

Tumpuan paling utama pada rekabentuk HONOR Magic V3 adalah pada betapa nipisnya ia dengan ukuran 9.2mm apabila dilipat dan 4.35mm apabila dibuka. Ia juga merupakan salah satu telefon pintar boleh lipat gaya buku yang paling ringan dengan hanya seberat 226g. Ia beberapa gram lebih ringan berbanding telefon pintar bentuk candybar HONOR lain seperti Magic 6 Pro.

Berbeza dengan model-model pesaingnya, paparan luaran Magic V3 mempunyai ukuran seperti telefon pintar biasa yang membuatkan ia tidak kekok untuk digunakan apabila dilipat.

Hampir keseluruhan bahagian telefon pintar ini memang nipis, namun pada bahagian yang menempatkan kameranya mempunyai bonggol yang agak tebal. Ia disebabkan oleh fungsi-fungsi khas pada kamera tersebut yang membuatkan bahagian bonggol telefon pintar ini menjadi tebal seperti kamera telefotonya.

Bahagian kamera belakangnya ini juga mempunyai bulatan dengan bentuk oktagon disekeliling yang berbingkaikan aluminium. Bentuknya ini mengingatkan kembali dengan Magic 6 Pro yang dilancarkan pada awal tahun ini.

Kedudukan butang suara dan butang kuasanya diletakkan pada arah bertentangan antara satu sama lain apabila dibuka. Ia mungkin akan membuatkan sesetengah pengguna berasa kekok jika sudah terbiasa dengan butang kuasa dan butang suara ditempatkan di lokasi yang sama. Sedikit masa mungkin diperlukan jika ingin membiasakan dengan posisi butang tersebut dan jika anda sebelum ini pernah menggunakan Magic V2, kedudukan butang begini bukanlah isu yang besar buat anda.

Warna

Di Malaysia, HONOR Magic V3 mempunyai tiga warna pilihan iaitu hitam, hijau dan merah. Antara ketiga-tiga pilihan warna ini, warna merah paling menonjol dengan kemasan faux-kulit pada permukaan belakangnya dengan rona keemasan. Untuk pilihan warna hitam dan hijau seperti unit ulasan yang kami terima ini, ia mempunyai kemasan matte pada permukaan belakangnya dengan rona metalik kelabu gelap pada keliling bingkai dan kameranya.

Turut disediakan di dalam kotak pembungkusannya, casing kulit vegan yang mempunyai warna hijau yang sepadan dengan warna telefon pintarnya. Pada saya ia merupakan sesuatu yang amat wajar diberika kepada pengguna mengambil kira harga premium telefon pintar ini. Casing ini mempunyai rasa mewah apabila dipegang dan direka dengan baik selain memberikan perlindungan tambahan pada telefon pintar ini.

Bingkai logam yang mengelilingi kameranya juga boleh dibuka dan dijadikan sebagai cagak. Rekaan ini dikirakan bijak walaupun pada sesetengah sudut ia tidak kukuh, namun memberikan kelebihan untuk mendirikan telefon pintar ini dalam sesetengah keadaan.

Paparan

Kebiasaannya kita akan memberikan tumpuan yang lebih jika ingin memilih telefon pintar boleh lipat di pasaran. HONOR Magic V3 memberikan tawaran yang hebat pada kedua-dua belah skrin pada telefon pintar baharunya ini.

Pada bahagian luarannya terdapat paparan OLED 6.43-inci dengan kadar penyegaran semula adaptif 1-120Hz beresolusi 1060 x 2376 piksel. Paparannya amat terang dengan output sehingga 5,000 nits pada tahap puncak dan dilindungi oleh teknologi kaca super teguh HONOR NanoCrystal 2.0. Saya berkesempatan menguji tahap ketahanannya dari kesan calar ketika sesi taklimat media menjelang pelancaran rasminya baru-baru ini. Didapati skrin hadapannya mampu menahan dari kesan torehan dari pisau.

Skrin dalamannya pula yang berukuran 7.92-inci apabila dibuka masih mempunyai kesan kedutan. Namun ia lebih minimal berbanding model sebelumnya dan ia merupakan satu lagi penambahbaikan yang besar untuk model siri ini. Selain itu, bahagian skrin ini juga lebih lasak dengan menurut HONOR ia lima kali lebih kalis calar berbanding HONOR magic V2.

Paparan dalaman HONOR Magic V3 ini juga mempunyai kadar penyegaran semula skrin adaptif 1-120Hz dan mempunyai resolusi 2156 x 2344 piksel. Ia tidaklah begitu terang seperti skrin luaran dengan hanya 1,800 nits tahap kecerahan puncaknya, namun ia memadai untuk melihat pada paparannya apabila berada di luar bangunan.

Kualiti yang memukau dengan sokongan penjagaan mata

Kedua-dua skrin ini juga kelihatan hebat apabila digunakan dengan warna yang berseri dan jitu serta pergerakan yang lancar. Tontonan kandungan HDR melalui YouTube pada telefon pintar ini juga mampu memberikan impak yang padu dengan perincian sorotan dan bayangan yang lebih terperinci.

Jika anda mengambil berat dengan kesihatan mata anda, HONOR turut menawarkan sokongan tersebut pada telefon pintar ini. Misalnya, HONOR Magic V3 mempunyai kadar pemalapan PWM antara yang tertinggi di kalangan telefon pintar boleh lipat. Ia juga menyokong kadar pemalapam PWM 3840Hz pada bahagian skrin dalaman dan 4320Hz pada skrin luarannya.

Selain memperkenalkan pencahayaan biru rendah, dan ciri kecerahan adaptif, telefon pintar ini juga memperkenalkan ciri AI Defocus Display. Ia bertujuan membantu mengurangkan keletihan pada mata jika digunakan dalam tempoh yang terlalu lama dengan menggunakan kelebihan AI.

Kamera

Sesuai dengan saiz kameranya yang tebal lagi besar, perkakasan yang ditawarkan pada HONOR Magic V3 ini sememangnya mengkagumkan. Terdapat sebuah kamera utama 50MP dengan lebar apertur f/1.6 dan sensor 1/1.56-inci, sebuah telefoto 3.5x 50MP dan kamera ultra-lebar 40MP dengan keupayaan makro.

Setiap skrinnya mempunyai kamera swafoto 20MP f/2.2 dan oleh kerana ia merupakan sebuah telefon pintar boleh lipat, ia boleh menggunakan ketiga-tiga kamera di belakangnya untuk tujuan swafoto.

HONOR Magic V23 menghasilkan imej yang jitu dengan warna yang berseri dan mempunyai julat dinamik yang cemerlang. Ia mampu mendapatkan fokus dengan pantas dan sama seperti Magic 6 Pro, ia mampu mendapatkan imej pegun yang bagi untuk subjek yang bergerak dalam persekitaran yang cukup pencahayaannya.

Pada waktu malam, ia juga mampu mengambil foto yang jelas visualnya dan julat dinamik yang luas. Cuma kesan kabur gerakan dan hingar masih lagi wujud terutama apabila mengambil menggunakan kamera ultra-lebar.

Kamera utamanya menghasilkan imej yang paling baik terutama dalam persekitaran yang gelap. Bagaimanapun, saya lebih selesa menggunakan kamera telefoto 3.5x kerana ia mampu memberikan impak yang lebih menarik terutamanya apabila mengambil foto potret atau foto jalanan yang nampak lebih spontan.

Mod potret dengan kerjasama Studio Harcourt

Foto potretnya juga kelihatan lebih mengkagumkan apabila ia menggabungkan mod potret Studio Harcourt sebagaimana yang pernah diperkenalkan pada siri HONOR 200 baru-baru ini. Bezanya untuk HONOR Magic V3 kali ini, anda boleh menggunakan mod potret Studio Harcourt pada swafoto apabila anda menggunakan kamera belakang dengan membuka lipatan telefon pintar ini.

Walaupun telefon pintar ini mampu melakukan zum sehingga 100x secara digital, kualiti yang dihasilkannya tidak begitu baik dan kelihatan aneh. Jika anda berhasrat untuk menggunakan fungsi zumnya, hasil terbaiknya adalah pada sekitar 15-20x.

Ultra-lebar tidaklah sejitu lensa-lensa lain, namun ia amat berguna untuk tangkapan gambar yang melibatkan senibina, lanskap dan juga gambar berkumpulan. Apa yang menarik, ia mempunyai autofokus, dan juga keupayaan tangkapan gambar makro.

Ini merupakan beberapa contoh gambar-gambar yang ditangkap menggunakan HONOR Magic V3.

Swafoto menggunakan kamera belakang

Kamera-kamera swafoto pada paparan luaran dan dalamannya pula hanya sekadar mampu mengambil gambar seadanya sahaja dengan kualiti yang sederhana, serta boleh digunakan bagi tujuan panggilan video. Jika anda ingin mengambil swafoto yang lebih baik kualitinya, anda boleh sahaja memanfaatkan kamera belakangnya dengan membukanya untuk melihat pra-tonton pada skrin luarannya.

HONOR juga menambahkan ciri AI Eraser baharu ke dalam alatan suntingan untuk anda membuang objek mahupun individu yang anda tidak mahu wujud di dalam sesebuah gambar.

Untuk videonya pula, telefon pintar ini mampu merakamkan sehingga 4K 60 fps dan sehingga 4K 30 fps pada kedua-dua kamera swafotonya. Penstabilan imejnya mantap dan dengan kualiti mikrofonnya yang baik. Hasil rakaman videonya mungkin kelihatan agak kontras, namun anda boleh menggunakan salah satu penuras yang terbina dalamnya. Menerusi mod Pro Video pula, anda boleh menambahkan penuras LUT anda sendiri untuk mendapatkan warna video yang bersesuaian dengan citarasa anda.

Prestasi dan Perisian

HONOR Magic V3 dikuasakan oleh pemprosesan Qualcomm paling berkuasa tahun 2024, Snapdragon 8 Gen 3 yang bergandingan dengan RAM 12GB dan storan 512GB.

Pastinya dengan spesifikasi tersebut membawa kepada prestasi yang cemerlang dalam segenap situasi dan membolehkan telefon pintar ini menggalas tugas-tugas berat laksana seorang johan. Beberapa permainan yang berkeperluan grafik tinggi atau boleh dimainkan pada tetapan grafik tinggi seperti Genshin Impact dan PUBG Mobile juga boleh dijalankan dengan lancar walaupun terdapat sedikit kepanasan. Hal ini sudah dijangkakan apabila pemprosesan berkuasa tinggi ditempatkan di dalam badan telefon pintar yang amat nipis.

HONOR Magic V3 menggunakan perisian yang sama seperti peranti HONOR lain, MagicOS 8.0 yang merupakan antaramuka berasaskan Android 14 yang banyak menerima inspirasi dari iOS.

Google Cloud AI

Beberapa ciri menarik yang wajar diketengahkan pada telefon pintar boleh lipat baharu ini, antaranya seperti Magic Capsule, Magic Portal, serta ciri-ciri AI yang ditawarkan dengan kerjasama dengan Google Cloud AI seperti Face-to-Face Translation dan HONOR Notes.

HONOR Magic Capsule

Magic Portal membolehkan anda mengheretkan teks dan imej dari sesebuah aplikasi ke sebuah lagi aplikasi dalam bentuk menu pop-up konstekstual pada sebelah sisi paparan. Ia amat berguna untuk membuat carian Google berdasarkan imej atau mendapatkan alamat dari Google Maps. Buat masa terdapat sejumlah 150 aplikasi yang menyokong Magic Portal.

Oleh kerana skrin dalamannya yang besar, HONOR Magic V3 mempunyai potensi untuk menyokong fungsi-fungsi berbilang tugasan yang lebih baik dari apa yang ditawarkannya sekarang. Buat masa ini, antara fungsi berbilang tugasan yang ditawarkannya merangkumi skrin terbahagi dan tetingkap terapung. Mungkin melalui kemaskini yang akan datang, HONOR dapat membawakan ciri berbliang tugasan yang lebih praktikal dan intuitif.

Sokongan HONOR Magic Pen

Bagi anda yang membuat pra-tempahan HONOR Magic V3, sebatang pena stylus HONOR Magic Pen turut ditawarkan sebagai aksesori tambahan. Menariknya, kedua-dua belah skrin pada telefon pintar ini menyokong pengguna pena tersebut dan ini menjadikannya lebih praktikal.

Dari segi rasa mata pen pada paparan skrin ini ia lebih kepada menggunakan pen penanda pada permukaan licin seperti papan putih. Pengecasannya pula boleh dibuat dengan menggunakan port USB-C yang disediakan di dalam penutup di sebelah atasnya.

Cuma, untuk melukisnya saya perlu meletakkan sesuatu pada bahagian bawah dalam keadaan skrin dalamannya dibuka kerana ia berjongkang-jongkit ketika melukis. Hal ini telah kita sedia maklum kerana faktor saiz kameranya yang besar dan mungkin kelak akan ada aksesori yang khas diperkenalkan bagi menampung keperluan tersebut.

Selain itu, diharapkan HONOR dapat membangunkan aplikasi khusus untuk melukis seperti aplikasi Huawei Go Paint pada perantinya secara khusus. Kehadiran aplikasi khusus untuk melukis pada peranti-peranti HONOR mampu memanfaatkan kelebihan sedia adanya terutama sokongan HONOR Magic Pen.

Bateri

Telefon pintar ini menggunakan teknologi silikon-karbon untuk memampatkan bateri berkapasiti 5,150mAh ke dalam casisnya akan amat nipis. Ia juga mempunyai peningkatan bateri berasaskan AI bagi meningkatkan kecekapannya. Kedua-dua faktor ini di atas kertas kelihatan mantap, namun realitinya bukan seperti yang diharapkan.

Ia mampu bertahan untuk penggunaan seharian dan ia setara dengan telefon pintar boleh lipat pengeluar lain. Pada pandangan saya ia mungkin disebabkan masih lagi belum dipasang dengan kemaskini firmware baharu setakat artikel ini ditulis. Kemungkinan tahap penggunaan baterinya dapat dioptimumkan apabila menerima kemaskini berkenaan dengannya kelak.

Pengecasan bagi HONOR Magic V3 menyokong pada kadar sehingga 66W melalui berwayar dan 50W untuk secara nirwyar. Pada kadar ini sememangnya ia mampu dicaskan dengan pantas pada sifar sehingga penuh dalam tempoh sejam.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, HONOR Magic V3 merupakan telefon pintar yang terbaik bagi peminat telefon pintar boleh lipat yang nipis lagi ringan serta paparan dalamannya yang tidak kelihatan kesan kedutannya. Ia juga sesuai bagi pengguna yang mementingkan sudut fotografi telefon pintar.

Cuma antaramukanya mungkin terdapat sesetengah pengguna yang akan membanding-bandingkannya dengan antaramuka peranti Android lain. Rekaan antaramukannya memang berbeza dengan kebanyakan antaramuka berasaskan Android lain, namun bagi sesetengah pengguna ia tetap memmpunyai keunikannya sendiri.

HONOR Magic V3 merupakan telefon pintar boleh lipat berkuasa tinggi dengan prestasi pantas yang mantap dengan paparan cemerlang yang mampu mencabar pesaing di kalangan pengeluar telefon pintar boleh lipat lain.

Anda boleh mendapatkan Magic V3 di kedai dalam talian rasmi HONOR Malaysia dan juga di Lazada dan Shopee pada harga RM6,999 dengan konfigurasi RAM 12GB dan storan 512GB.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.