Infinix secara rasminya telah membawakan tablet pertamanya, Infinix XPAD ke pasaran Malaysia. Tablet baharu ini ditawarkan dengan dua varian yang terdiri daripada sokongan Wi-Fi sahaja dan Wi-Fi + LTE.
Peranti ini dilengkapkan dengan skrin LCD 11-inci beresolusi 1920 x 1200 dengan kadar penyegaran semula 90Hz dan kecerahan puncak 440 nits. Di dalamnya, tablet peringkat pemula ini menggunakan pemprosesan MediaTek Helio G99 yang bergandingan dengan RAM 4GB untuk model Wi-Fi sahaja dan RAM 8GB untuk model sokongan selular. Kedua-dua model ini juga mempunyai storan 256GB dan slot kad mikroSD untuk pengembangan slot.
Untuk fotografi dan panggilan video, tablet ini dilengkapkan dengan sensor 8MP pada bahagian hadapan dan belakangnya. Ia dikuasakan oleh bateri berkapasiti 7,000mAh dengan sokongan pengecasan 18W.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan antaramuka XOS 14 yang berasaskan Android 14 bersama-sama pembantu peribadi bersuara Folax yang berasaskan ChatGPT dari OpenAI.
Infinix XPAD berharga bermula dari RM699 untuk varian Wi-Fi dan RM899 untuk varian LTE dan boleh dibeli menerusi kedai dalam talian rasmi Infinix di Shopee, Lazada, dan TikTok.