U Mobile baru-baru ini telah melancarkan U Biz Fibre 10Gbps, menjadikannya penyedia perkhidmatan internet (ISP) pertama di Malaysia yang menawarkan pelan internet fiber 10Gbps untuk perniagaan. Ia berharga RM1,899 sebulan dan menjanjikan akses ke internet berkelajuan tinggi yang menawarkan 10 kali ganda kelajuan dari pelan fiber perniagaan.
Pelan 10Gbps baharu dilancarkan ini merupakan peringkat paling tinggi di dalam penawaran U Mobile U Biz Fibre. Menurut U Mobile, pelan ini direka untuk perniagaan menguruskan tugasan intensif data atau sokongan teknologi seperti AI dan media berdefinisi tinggi.
Ia juga menawarkan Secure DNS (Domain Name System) di dalam perkhidmatannya tanpa sebarang penambahan kos, memberikan keselamatan tambahan terhadap serangan dan pencerobohan siber sebagai ciri bernilai tambah kepada pemilik perniagaan.
Selain itu, U Biz Fibre 10Gbps menyediakan satu alamat IP umum tetap (untuk satu pelayan tunggal) secara percuma. Menurut U Mobile, perniagaan yang mempunyai sebilangan pelayan boleh mendapatkan sehingga lima alamat IP tetap pada harga tambahan RM300 sebulan (harga jualan: RM500 sebulan). Sama seperti penawaran U Mobile U Biz Fibre, pelan baharu ini didatangkan dengan kontrak selama 24 bulan.
U Biz Fibre 10Gbps buat masa ini ditawarkan kepada perniagaan yang berada di Berjaya Times Square dan Pavilion Damansara Heights. U Mobile menyatakan lokasi-lokasi lain termasuk Lalaport Bukit Bintang City Centre, KL Eco City dan Mid Valley Megamall sedang dalam proses untuk disediakan dan akan diumumkan kelak.