Baru-baru ini telah dilaporkan mengenai ketirisan pangkalan data yang turut melibatkan 2 juta entri mengandungi data peribadi pelanggan Unifi Mobile yang dijual secara dalam talian menerusi laman forum penggodam.
Rentetan dari perkembangan tersebut, TM telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi di laman web rasmi Unifi mengesahkan kejadian tersebut.
Berbanding angka yang didakwa sekitar 2.7 juta entri di dalam pangkalan data, TM di dalam kenyataan tersebut menyatakan sejumlah 250,248 pengguna terkesan dari insiden berkenaan.
Kesemua pengguna yang terlibat merupakan dari pelanggan Unifi Mobile. Pangkalan data yang tertiris tersebut mengandungi maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor telefon dan alamat emel dari pelanggan individu dan juga perniagaan.
TM turut menyatakan pelanggan yang terkesan telah dimaklumkan dan mana-mana pelanggan yang tidak menerima notifikasi tersebut tidak terkesan dengan ketirisan tersebut. Langkah-langkah keselamatan tambahan juga telah diambil tanpa menjejaskan perkhidmatan semasa.
Penilaian tambahan juga sedang diambil oleh TM termasuk melaporkan kepada pihak berkuasa iaitu Pusat Kawalan dan Koordinasi Siber Negara (NC4), Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDP) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).