Kebiasaannya, jika anda ingin melakukan format terhadap sistem fail pemacu storan jenis apa2 pun, baik pemacu flash, SSD mahupun jenis tradisional, Windows akan memberikan pilihan format dalam bentuk NTFS, FAT32, atau exFAT.
Format-format ini mempunyai ciri-ciri perbezaannya yang tersendiri. Setiap satunya digunakan mengikut keperluan-keperluan yang tertentu.
FAT32 merupakan format yang lebih awal muncul jika dibandingkan dengan NTFS dan exFAT. Ia sering digunakan pada pemacu storan USB flash dan sesetengah jenis storan luaran. NTFS pula digunakan oleh Windows untuk pemacu sistemnya (system drive). Malah ianya sangat ideal untuk digunakan pada mana-mana jenis storan dalaman. Manakala bagi exFAT pula, ia diwujudkan sebagai pewaris moden kepada FAT32 dan lebih banyak peranti kini menyokong format ini. Namun, ia tidaklah sebegitu meluas seperti penggunaan FAT32 sebelum ini.
FAT32
FAT 32 merupakan sistem fail tertua di antara sistem-sistem fail yang diterangkan di dalam artikel ini. Ia diperkenalkan sejak dari era penggunaan Windows 95 untuk menggantikan penggunaan sistem fail FAT16.
Sistem fail ini memiliki kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Disebabkan ia telah digunakan terlalu lama, ia sudah dianggap seperti satu kemestian untuk menggunakannya. Pemacu flash (pen drive) yang baru dibeli biasanya hadir dengan format sistem fail FAT32. Oleh sebab itu, pemacu flash dengan format ini sesuai digunakan pada mana-mana peranti yang mempunyai labuhan USB dan tidak terhad pada komputer sahaja.
Bagaimanapun, sistem fail ini memiliki kekurangan dari segi saiz maksimum fail individu yang boleh dimuatkannya. Ia hanya boleh menyimpan maksimum 4 GB sahaja untuk satu fail individu. Selain dari itu, partition FAT32 juga diwajibkan untuk kurang dari 8 TB.
Sistem fail ini amat sesuai digunakan pada storan luaran termasuklah pemacu flash, tetapi tidak begitu sesuai jika digunakan pada storan dalaman. Selain dari faktor had saiz untuk menyimpan fail individu, FAT32 juga mempunyai kekurangan dari sudut ciri keselamatan dan pemberian keizinan seperti yang terdapat pada NTFS. Malah, Windows versi-versi terkini tidak lagi boleh dipasang pada FAT32 dan diwajibkan hanya pada sistem fail NTFS.
NTFS
NTFS merupakan sistem fail moden yang digemari oleh Windows. Apabila anda memasang Windows, ia akan memformatkan pemacu sistem dengan sistem fail NTFS. NTFS mempunyai had saiz fail dan partition yang terlalu besar dan pengguna tidak perlu bimbang mengenainya berdasarkan perkembangan teknologi storan buat masa ini. Sistem fail ini buat pertama kali muncul sewaktu era Windows XP.
Selain dari faktor had saiz fail yang besar dan partition, NTFS turut hadir dengan fungsi-fungsi yang moden. Ia menyokong pemberian keizinan fail untuk lebih tahap keselamatan, jurnal perubahan yang berguna sewaktu pemulihan dari sebarang ralat, salinan bayangan untuk sandaran, enkripsi, had kuota, hard links dan sebagainya.
Bagaimanapun, NTFS tidak begitu compatible dengan sistem operasi lain. Ia hanya sesuai dengan sistem operasi seperti Windows XP dan ke atas. Pada kebiasaannya, Mac OS X hanya boleh membacu pemacu NTFS, tetapi tidak boleh menulis padanya. Begitu juga untuk sesetengah distro Linux, ada sesetengahnya boleh membaca dan menulis dan ada sesetengahnya hanya boleh membaca sahaja
Bagi konsol permainan pula, Sony Playstation langsung tidak menyokong NTFS. Malah, konsol keluaran Microsoft sendiri, Xbox 360 juga tidak boleh membaca pemacu NTFS. Hanya Xbox One sahaja yang boleh. Kekurangan yang amat ketara pada NTFS ini adalah sistem fail ini amat jarang digunakan pada peranti-peranti lain selain dari komputer yang menggunakan sistem operasi Windows.
exFAT
Diperkenalkan pada tahun 2006, ia kemudian diperkenalkan pada sistem operasi Windows XP dan Windows Vista melalui kemaskini-kemaskini.
Sistem fail ini dioptimasikan untuk pemacu flash. Ia direka bentuk supaya ringan seperti fail sistem FAT32 tetapi tanpa sebarang had.
Seperti NTFS, had fail dan partiton exFAT adalah terlalu besar. Oleh itu, pengguna boleh menyimpan fail individu bersaiz lebih dari 4 GB pada pemacu flash atau kad SD apabila diformatkan kepada exFAT. Ia merupakan pilihan terbaik buat pengguna storan luaran.
Ia juga lebih compatible jika dibandingkan dengan NTFS dimana Mac OS X boleh membaca dan menulis sistem fail ini. Begitu juga pada Linux, cuma ia terlebih dahulu perlu memasang perisian-perisian tertentu untuk membaca dan menulis sistem fail exFAT.
Bagaimanapun, penggunaannya masih lagi belum dikira sebagai meluas memandangkan konsol-konsol permainan masih lagi tidak menyokong sistem fail ini. Hanya Playstation 4 sahaja yang menyokongnya.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, NTFS adalah sistem fail yang sesuai digunakan sebagai storan dalaman. Manakala FAT32 dan exFAT amat ideal digunakan pada storan luaran. Oleh itu, anda sebagai pengguna perlu menentukan kesesuaian sistem-sistem fail ini untuk kemudahan anda mengakses fail-fail pada peranti-peranti pilihan anda.