Apple secara rasminya telah melancarkan ciri Tap to Pay pada peranti iPhone di pasaran Malaysia. Sekali gus membolehkan para peniaga tempatan mengubah telefon pintar mereka menjadi terminal pembayaran tanpa sentuh (NFC) dengan mudah, tanpa memerlukan perkakasan tambahan.
Inovasi teknologi yang mula diperkenalkan pada peringkat global sejak tahun 2022 ini memberi nafas baharu kepada operasi perniagaan pelbagai saiz dalam menguruskan transaksi pelanggan.
Melalui penggunaan teknologi komunikasi medan dekat (NFC), iPhone kini boleh berfungsi sepenuhnya sebagai alat ganti kepada mesin terminal pembayaran tradisional yang selalunya memakan ruang dan kos.
Apple kini sedang dalam perancangan untuk mengimplementasikan penggunaan ciri Tap to Pay ini pada sistem daftar keluar (checkout) di Apple The Exchange TRX, satu-satunya kedai fizikal rasmi Apple di Malaysia buat masa ini.
Tap to Pay di Malaysia menyokong pelbagai rangkaian pembayaran utama termasuk MyDebit, Visa, Mastercard, American Express, UnionPay, dan JCB.
Peniaga boleh menerima bayaran tanpa sentuh daripada pengguna peranti dan jam tangan pintar jenama lain. Pembayaran daripada pengguna tidak terhad kepada pengguna Apple sahaja.
Hanya peranti siri iPhone 11 dan ke atas menyokong fungsi terminal pembayaran melalui ciri Tap to Pay ini. iPhone yang digunakan oleh peniaga juga wajib dikemas kini kepada versi perisian iOS yang terkini.







