Sebilangan pengguna-pengguna siri iPhone 14 Pro dilaporkan mengalami masalah skrin bergaris apabila peranti mereka dihidupkan. Kini, Apple sedang dalam usaha mengatasi isu berkenaan dan berjanji akan menawarkan pembaikan bagi masalah tersebut melalui kemaskini iOS yang akan datang.
Sebagaimana yang dilaporkan oleh MacRumors, Apple telah menerbitkan memo dalaman yang menjelaskan pihaknya kini sedang menyiasat punca isu ini berlaku. Berdasarkan maklumat awal, isu ini disahkan berpunca dari ralat perisian dan bukannya dari perkakasan.
Memo berkenaan juga menyatakan Apple mengambil maklum isu ini dan satu kemaskini perisian akan disediakan bagi menyelesaikan masalah ini. Menariknya, isu ini hanya berlaku pada iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max sahaja dan tidak melibatkan model standard iPhone 14.