SpaceX baru-baru ini telah mengumumkan perkhidmatan internet jalur lebar satelit Starlink kini boleh didapati di 32 buah negara. Kebanyakan negara berkenaan terletak di benua Amerika Utara, Eropah, selain turut meliputi Brazil, Chile, New Zealand dan separuh dari Australia.
Malaysia bagaimanapun buat masa ini dikategorikan sebagai negara yang akan menerima perkhidmatan tersebut di masa akan datang.
Bagi anda yang mengunjungi laman web rasmi Starlink, Malaysia dilabelkan sebagai “Starting in 2023” apabila anda melalukan petunjuk tetikus di atas Malaysia di dalam peta liputan Starlink. Borang pra-pesanannya juga menyatakan Starlink menjangkakan akan memperluaskan perkhidmatannya ke pasaran Malaysia pada tahun 2023.
Bagaimanapun, ketersediaan perkhidmatan tersebut bergantung pada kelulusan dari pihak berkuasa tempatan. Sebelum ini, borang yang sama juga pernah menyatakan perkhidmatan Starlink akan memasuki Malaysia pada 2022, namun ia tidak berlaku seperti yang dijangkakan.
Jika SpaceX Starlink sedia ditawarkan kepada pengguna di Malaysia sekalipun, harga yang ditawarkan olehnya juga agak tinggi. Di Amerika Syarikat, kita Starlink sahaja berharga USD599 (~RM2,634) dengan harga langguanannya pula USD110 (~RM484) sebulan.
Bagi pengguna yang ingin menaikkan kadar kelajuan dari 250Mbps kepada 500Mbps pula, anda perlu membelanjakan USD2,500 (~RM10,994) untuk kit Starlink Premium. Selain itu, pengguna juga perlu membayar yuran langganan sebanyak USD500 (~RM2,199) sebulan.