Imej pengolokan (renders) rasmi yang dipercayai Xiaomi 17T dan 17T Pro dilaporkan telah mula tertiris pada minggu lepas. Secara tidak langsung, memberikan gambaran menyeluruh telefon pintar baharu tersebut.
Berdasarkan imej yang tertiris, siri Xiaomi 17T mengekalkan identiti estetik yang minimalis namun premium. Peranti ini dilihat menampilkan modul kamera berbentuk petak yang lebih dominan di bahagian belakang. Kali ini menempatkan sistem tri-kamera dengan penjenamaan optik terkemuka.
Paparan hadapan pula menggunakan reka bentuk skrin rata dengan bingkai (bezel) yang sangat nipis. Ia memberikan nisbah skrin-ke-badan yang lebih luas bagi pengalaman visual yang lebih imersif.
Menurut Huawei Central, siri ini dijangka akan membawa perubahan besar dari segi prestasi dalaman terutamanya bagi model Pro.
Xiaomi 17T Pro dilihat bakal menetapkan piawaian baharu dalam segmennya dengan integrasi cip pemprosesan paling berkuasa setakat ini. Dalam pada masa yang sama dijangka mengekalkan kerjasama strategik bersama Leica untuk sistem pengimejan.
Selain daripada aspek reka bentuk, spesifikasi tertiris menunjukkan Xiaomi akan memfokuskan kepada kecekapan kuasa dan kualiti paparan.
Penggunaan teknologi panel AMOLED 6.67-inci dengan kadar segar semula yang tinggi dijangka menjadi ciri standard bagi kedua-dua model dalam siri ini.
Kuasa pemproseannya pula dijangkakan akan hadir mengikut model. Pemprosesan MediaTek baharu Dimensity 8500 Ultra mungkin akan digunakan untuk 17T. Manakala Dimensity 9500 pula dijangka akan digunakan untuk 17T Pro.
Xiaomi masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tarikh pelancaran atau harga jualan bagi siri Xiaomi 17T ini. Walau bagaimanapun, berdasarkan trend tahunan syarikat, model baharu ini dijangka akan membuat kemunculan global dalam masa terdekat.












