Siri iPhone 15 mula hadir menemui pengguna di Malaysia pada hari ini selepas ia diumumkan pelancaran rasminya dua minggu lalu. Pengguna di beberapa buah negara telah pun menerima unit pesanan masing-masing.
Namun, dilaporkan terdapat masalah pada peranti yang diterima mereka apabila mengalami masalah tergendala ketika ‘boot’ selepas memindahkan data dari peranti lama.
Tidak lama selepas menerima aduan tersebut, Apple telah membuka sebuah halaman sokongan baharu bagi mengenalpasti masalah ralat tersebut.
Menurut panduan yang disediakan, pengguna terlebih dahulu perlu menyambungkan peranti baharu ke komputer yang telah dipasangkan aplikasi iTunes melalui kabel.
Seterusnya, dengan cepat tekan dan pegang butang kunci sehingga anda melihat gambar komputer dan kabel muncul selepas logo Apple.
Kemudian, cari model iPhone 15 di dalam aplikasi Finder pada komputer Mac atau aplikasi iTunes pada Windows, dan pilih “Restore” untuk memulihkannya.
Selepas telefon berkenaan dihidupkan semula, mulakan proses membuat tetapan seperti biasa. Namun, anda perlu melangkau pilihan pemindahan data dari peranti lama dan terus memuat turun dan memasangkan iOS 17.0.2. Hanya apabila anda firmware terkini anda boleh memindahkan data ke iPhone baharu anda dengan selamat.
Walaubagaimanapun, ini bergantung pada keadaan jika iPhone 15 di pasaran Malaysia menerima kemaskini lebih terkini. Jika pengguna di Malaysia menerima iPhone 15 dengan iOS 17.0.2, anda mungkin tidak perlu melakukan langkah-langkah seperti di atas.