HONOR akan melancarkan siri telefon pintar baharunya melalui HONOR 600 di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Menjelang acara pelancaran tersebut, pihak syarikat telah mula mempertontonkan reka bentuk rasmi peranti ini kepada umum.

Siri HONOR 600 membawakan perubahan reka bentuk yang ketara. Terutamanya pada model Pro yang menampilkan kemas kini pada rekaan modul kamera berbanding generasi sebelum ini.

Peranti baharu ini disasarkan untuk memberikan lonjakan prestasi yang jauh lebih tinggi dan menyeluruh berbanding siri HONOR 400 yang terdahulu.

Di akaun media sosial rasmi HONOR, peranti tersebut diketengahkan sebagai “Bersedialah untuk peningkatan epik (get ready for an epic upgrade)”.

Model standard HONOR 600 dijangka akan dikuasakan oleh cipset Snapdragon 7 Gen 4. Manakala model HONOR 600 Pro akan dijana oleh cip siri Snapdragon 8 berprestasi tinggi.

Turut dilengkapkan, skrin OLED bersaiz sekitar 6.57 hingga 6.59-inci beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 120Hz. Untuk fotografi, siri ini akan didatangkan dengan sensor kamera utama 200 Megapiksel untuk hasil penggambaran yang lebih terperinci.

Siri ini juga akan disokong oleh bateri berteknologi silikon-karbon berkapasiti 9,000mAh untuk ketahanan yang sangat panjang.

Terdapat ‘Butang AI’ (AI button) khusus pada bahagian sisi peranti bagi membolehkan pengguna mengakses fungsi kecerdasan buatan dengan pantas.

Siri HONOR 600 dijangka akan merancakkan lagi persaingan peranti di Malaysia menerusi gabungan reka bentuk berestetika premium serta spesifikasi dalaman yang berkuasa.

Maklumat lanjut mengenai tarikh jualan rasmi dan penawaran harga untuk pasaran tempatan akan diumumkan oleh pihak HONOR dalam masa terdekat.

Tinggalkan komentar