Kerajaan kini sedang meneroka mekanisme baharu untuk mengedarkan subsidi bersasar, termasuk bahan api diesel. Antara yang dicadangkan, integrasi sistem MyKasih dan kad pengenalan pintar, MyKad.
Cadangan ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini sebagai langkah susulan daripada keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Kementerian Kewangan (MOF) kini sedang dalam fasa memperhalusi kertas cadangan terbabit secara terperinci sebelum ia dibawa ke Kabinet untuk mendapatkan kelulusan muktamad.
Menurut Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, penggunaan MyKad dalam penyampaian subsidi telah membantu mewujudkan sistem yang lebih berstruktur serta mengurangkan ketirisan
Beliau menyatakan bahawa sistem ini berjaya memberikan penjimatan kos kepada negara tanpa mengubah tingkah laku pembelian pengguna.
Pelaksanaan bagi bahan api diesel mempunyai cabaran berbeza kerana ia memainkan peranan yang jauh lebih kritikal di Sabah dan Sarawak. Khususnya untuk menyokong pengangkutan darat, air, serta penjanaan elektrik .
Pengedaran perlu mengambil kira kawasan pedalaman yang kekurangan akses kepada stesen minyak konvensional dan sangat bergantung pada kaedah pengedaran secara alternatif.
Sebarang fasa peralihan akan menuntut penilaian menyeluruh terhadap tahap logistik, kebolehgunaan, dan kesediaan sistem di seluruh negara bagi kelancaran operasi.
Kerajaan memberi jaminan kelangsungan bekalan bahan api perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum sebarang mekanisme baharu ini diperkenalkan. Oleh itu, lebih masa diperlukan untuk menilai sepenuhnya potensi halangan operasi bagi mengelakkan sebarang gangguan rantaian bekalan. Hal ini terutamanya di kawasan yang mempunyai keperluan infrastruktur yang unik.













