Maybank baru-baru ini telah menghantar peringatan mesra menerusi saluran media sosial rasminya berhubung migrasi sepenuhnya ke Secure2u untuk semua transaksi kad dalam talian bermula 1 Julai 2023.
Perubahan ini akan menggantikan sepenuhnya sistem kod MSOS (Maybank Secure Online Shopping) yang digunapakai sehingga kini. Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan arahan menggantikan kaedah SMS kata laluan sekali (OTP, one-time password) bagi mengekang kegiatan penipuan (scammer).
Maybank telah mengumumkan perubahan ini sejak dari September tahun lalu, tidak lama selepas arahan dari BNM tersebut dikeluarkan.
Migrasi penuh pada asalnya disasarkan selesai menjelang Jun tahun ini. Pelaksanaan perubahan ini akan menggunakan pengesahan Secure2u untuk proses seperti mengesahkan transaksi dalam talian dan pemindahan dana. Ia juga akan digunakan untuk membuka akaun baharu dan juga mengubah maklumat peribadi untuk akaun sedia ada.
Menurut Maybank, Secure2u merupakan kaedah yang lebih selamat dan pantas yang mana notifikasi tolakan untuk pembayaran menggunakan kad akan dihantar ke telefon penugguna melalui aplikasi MAE untuk pengguna membuat pengesahan atau pembatalan hanya dengan satu ketikan sahaja.
Sebelum ini kaedah menggunakan MSOS akan menghantar kod 6 digit melalui SMS kepada pengguna untuk dimasukkan ke dalam platform pembayaran sebagai pengesahan pembayaran. Kaedah ini bagaimanapun telah dimanipulasikan oleh kumpulan scammer untuk menipu mangsa.
Buat masa ini Maybank membenarkan pengguna mempunyai satu peranti untuk tujuan menguruskan pengesahan Secure2u yang hanya boleh diaktifkan melalui aplikasi mudah alih MAE.
Pengguna sebelum ini boleh mengaktifkan sistem menerusi aplikasi Maybank2u, namun ciri berkenaan tidak lagi disediakan sejak dari September tahun lepas. Bagaimanapun, ini hanya tertakluk untuk pengaktifan baharu sahaja dan bagi pengguna yang telah pun mengaktifkan Secure2u menerusi M2U, anda boleh terus menggunakannya seperti biasa selagi menggunakan peranti yang sama.
Anda yang menggunakan perkhidmatan perbankan Maybank juga diingatkan supaya mengaktifkan Secure2u secepat mungkin. Hal ini kerana tempoh pengaktifan 12 jam akan dikeluarkan untuk pengaktifan pertama kali pada aplikasi MAE atau pada peranti yang berlainan nanti.
Kaedah pengesahan menggunakan Secure2u ini pertama kali diperkenalkan sejak Oktober 2022 bagi tujuan mengekang penipuan dan juga menghalang pengesahan palsu.