Samsung secara rasminya telah mengumumkan Galaxy Watch FE untuk pasaran Malaysia. Jam tangan pintar baharu keluaran Samsung ini pertama kali diumumkan secara rasminya pada bulan Jun lalu.
Galaxy Watch FE hadir dengan rekaan yang mirip dengan Watch 6 yang dilancarkan pada tahun lepas, cuma tanpa bingkai berputar. Ia juga hanya didatangkan dengan satu sahaja pilihan saiz, 40mm dan ditawarkan dengan tiga warna pilihan, Pink Gold, Black, dan Silver. Hanya warna Silver sahaja didatangkan dengan tali berwarna biru lembut, dengan Pink Gold dan Black hadir dengan warna tali yang sama dengan warna pilihan tersebut.
Dari segi spesifikasi, model mesra bajet ini menawarkan paparan Super AMOLED 1.2-inci beresolusi 396 x 396 piksel dengan sokongan paparan sedia terpasang. Ia juga menggunakan pemprosesan Exynos W920, RAM 1.5GB dan storan 16GB. Selain itu, ia didatangkan dengan bateri berkapasiti 247mAh, Wear OS melalui antaramuka One UI Watch 5.0, serta penarafan IP68, 5 ATM, dan MIL-STD-810H.
Samsung Malaysia telah mengesahkan Galaxy Watch FE mula dijual di pasaran tempatan hari ini pada harga RM799 secara eksklusif dalam talian menerusi laman jualan rasminya. Bersempena pelancarannya, Samsung turut menawarkan promosi istimewa potongan RM150 bagi pembelian secara dalam talian di laman web rasminya dengan setiap pembelian peranti terpilih.
Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Samsung Malaysia.