Utama Android Xiaomi Xiaomi secara rasminya umumkan Telefon Pintar Boleh Lipat Kompak Xiaomi Mix Flip

Xiaomi secara rasminya umumkan Telefon Pintar Boleh Lipat Kompak Xiaomi Mix Flip

235
0

Xiaomi telah mengumumkan telefon pintar boleh lipat kompak pertamanya, Mix Flip menerusi akaun rasminya di Weibo. Turut diumumkan spesifikasi utama telefon pintar berkenaan seperti pemprosesan, kapasiti bateri dan sebagainya.

Berdasarkan apa yang dikongsikan, Xiaomi Mix Flip menawarkan bentuk faktor cengkerang yang biasa dilihat di pasaran masa kini. Apa yang menarik, skrin luaranya besar dan meliputi hampir keseluruhan bahagian tersebut. Seterusnya, menyediakan lebih ruangan untuk hiasan latar dan aplikasi yang disokong.

Seperkara lagi yang wajar diambil perhatian adalah pada ketebalan peranti ini baik ketika dilipat atau dibuka lipatannya. Mengikut foto-foto yang dikongsikan, kelihatan Mix Flip lebih nipis berbanding Galaxy Z Flip 6 yang baharu sahaja dilancarkan oleh Samsung. Selain dari itu, dua buah kamera yang besar disusun secara menegak pada bahagian ppaparan luarannya.

Dari segi spesifikasinya, buat masa ini Xiaomi telah mendedahkan Mi Flip akan hadir dengan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3, bersama-sama storan UFS 4.0, RAM LPDDR5X, dan kebuk pengewapan 3D untuk penyejukannya.

Perincian skrin dalamannya masih lagi belum diumumkan buat masa ini. Namun, pihak syarikat telah mengesahkan telefon pintar ini akan menampilkan skrin cover 4-inci dengan resolusi 1240p dan kecerahan 1,600 nits.

Untuk baterinya, telefon pintar boleh lipat gaya cengkerang Xiaomi ini berkapasiti 4,780mAh yang setakat ini terbesar untuk kategorinya. Buat masa ini, hanya HONOR Magic V Flip yang dilancarkan di China pada bulan lepas sahaja yang mempunyai kapasiti bateri yang sama dengannya.

Pengimejan telefon pintar ini disahkan akan menampilkan kamera-kamera yang dibangunkan bersama-sama dengan Leica. Perincian mengenainya masih belum didedahkan dan Xiaomi memberikan bayangan sensornya akan menampilkan “apertur yang besar.”

Xiaomi Mix Flip dijadualkan akan dilancarkan bersama-sama Mix Fold 4 dan Redmi K70 Ultra pada hari ini, 19 Julai 2024. Tiada sebarang khabar sama ada ketiga-tiga peranti berkenaan akan diperkenalkan ke pasaran luar dari China.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.