Utama Mobile Aplikasi Rider penghantar makanan akan diwajibkan Memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL)

Rider penghantar makanan akan diwajibkan Memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL)

559
0
p-hailing lesen GDL Grab
Imej dari Canva

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong telah mengumumkan pihak kerajaan tidak lama lagi akan mewajibkan penunggang penghantar makanan atau p-hailing untuk memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL).

Peraturan tersebut merupakan salah satu usaha yang akan diperkenalkan bagi menambahbaik kawalselia industri p-hailing.

Beliau menyatakan Jumaat lalu, Kabinet telah bersetuju untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].

Ketiga-tiga rang undang-undang bagi meminda akta tersebut akan dibentang dan dibahaskan di dalam sesi Parlimen berikutnya yang dijadualkan pada 26 Oktober hingga 15 Disember. Keperluan memiliki lesen GDL dikalangan rider p-hailing ini membolehkan Kementerian Pengangkutan mengetahui jumlah penunggang p-hailing di seluruh negara.

Menurut Menteri Pengangkutan:

“Selain itu penunggang p-hailing yang memiliki lesen GDL akan diberikan kursus pemanduan kerana ada rungutan penunggang tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Melalui GDL, kita akan dapat tahu siapa yang bekerja dalam perkhidmatan p-hailing dan apa tingkah laku mereka,”

Salah satu perkara yang akan dimasukkan ke dalam pindaan akta tersebut adalah mengenai usia minimum untuk mendapatkan GDL yang dikurangkan dari 21 kepada 18 tahun.

Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi berkaitan di bawahnya akan mengawal selia perkhidmatan p-hailing supaya dapat menjadikan perkhidmatan tersebut sentiasa kompetitif dalam jangka masa panjang.

“Pengawalseliaan juga bertujuan menjaga kebajikan penunggang atau pemandu kenderaan yang terlibat,”

Antara syarat-syarat pengawalseliaan kelak yang akan diperkenalkan termasuklah keperluan memiliki perlindungan insurans untuk para rider. Wee juga meminta pengendali perkhidmatan e-hailing mengadakan sesi perbincangan dengan lebih kerap dengan para rider bagi mengelakkan mogok yang disebabkan oleh isu melibatkan pembayaran.

Jumaat lalu, rider Grab dan Foodpanda telah mengadakan mogok kerana tidak berpuas hati dengan isu berkaitan pembayaran yang diterima bagi tugasan yang telah dilakukan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.