WhatsApp sedang mengusahakan ciri baharu bagi meningkatkan privasi pengguna serta kecanggungan apabila pengguna meninggalkan sesebuah kumpulan (group) borak. Terdapat tiga ciri baharu yang akan diperkenalkan tidak lama lagi bagi tujuan tersebut.
Pertama sekali adalah ciri yang membenarkan anda meninggalkan sesebuah kumpulan secara senyap-senyap. Ini bermakna anda tidak perlu lagi mengucapkan selamat tinggal kepada seluruh ahli kumpulan apabila meninggalkan kumpulan. Bagaimanapun, hanya pentadbir (admin) kumpulan borak sahaja yang menerima notifikasi jika terdapat seseorang meninggalkan kumpulan berkenaan.
Seterusnya adalah pilihan untuk mengawal siapa yang dapat melihat ketika anda sedang dalam talian (online). Anda boleh menyorokkan status atas talian (online) kepada semua orang (everyone), kenalan anda atau kenalan tertentu dengan beberapa pengecualian dan tiada siapa (nobody).
Kedua-dua ciri ini iaitu pilihan untuk meninggalkan kumpulan secara senyap dan juga sorokkan status dalam talian akan diperkenalkan ke dalam WhatsApp pada bulan ini.
Akhir sekali, ciri yang paling penting untuk fungsi View Once – menyekat pengguna lain dari melakukan tangkapan layar (screenshot) terhadap mesej berkenaan. Fungsi View Once di dalam WhatsApp membolehkan pengguna menghantar foto atau vieo yang menghilang sebaik sahaja penerima membukanya.
Buat masa ini WhatsApp masih belum menyatakan bilakah ciri menyekat tangkapan layar untuk fungsi View Once akan diperkenalkan kepada orang ramai.
Dalam pada masa yang sama WhatsApp kini sedang giat mengadakan kempen kesedaran bagi orang ramai mengenai kepentingan menjaga privasi dan bagaimana menguruskannya.