Tertekan dengan pendapatan yang berkurangan ketika berdepan dengan kenaikan kos sara hidup dikatakan menjadi punca mengapa rakan penghantar (rider) di Malaysia merancang untuk tidak melakukan sebarang penghantaran pada esok, 5 Ogos 2022.
Naib Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia Abdul Hakim Abdul Rani menyatakan para rakan penghantar merasa semakin tertekan untuk melakukan tugasan penghantaran kerana kadar bayaran mengikut setiap tugasan yang kian mengecil.
Beliau ketika dihubungi oleh akhbar The Star menjelaskan pihaknya tidak memulakan protes tersebut, namun menyokong usaha berkenaan kerana memahami kesusahan yang dialami oleh rakan penghantar yang lain.
Tambah beliau lagi, protes ini merupakan salah satu jalan untuk mengingatkan syarikat berkenaan supaya lebih mengambil berat mengenai nasib para rakan penghantar yang kini berdepan dengan kenaikan kos sara hidup.
Malah, kebanyakan rakan penghantar merasakan pendapatan yang diraih kian berkurangan sungguhpun lebih banyak penghantaran yang telah dibuat.
Persatuan beliau juga telah mencadangkan untuk memperkenalkan kadar standard baharu RM5 bagi setiap 5km pertama dan 80 sen bagi setiap kilometer berikutnya untuk satu penghantaran.
Mogok satu hari ini mendapat sambutan menggalakkan di dalam pelbagai kumpulan Facebook dengan tanda pagar #OffSatuHari, #24hournoshift, #naikkanfare dan sebagainya yang berkaitan.