Kumpulan penggodam antarabangsa R00TK1T baru-baru ini mendakwa telah menceroboh dan mencuri sekitar 27TB data dari fail pelayan milik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Menerusi kenyataan di dalam saluran Telegram kumpulan terbabit, pencerobohan tersebut turut dikatakan melibatkan “organisasi PADU”.
Walaubagaimanapun, PADU yang dimaksudkan oleh mereka bukanlah sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diperkenalkan oleh Kementerian Ekonomi baru-baru ini seperti yang didakwa.
Terdapat kemungkinan kumpulan berkenaan keliru dengan nama PADU yang terdapat di dalam senarai fail yang diceroboh mereka. “Organisasi PADU” yang dimaksudkan adalah Unit Pengurusan Penyampaian Perkhidmatan (PADU) di dalam LPPKN.
Pun begitu, ancaman serangan siber daripada mana-mana pihak wajar dipandang serius dan perlu diambil tindakan segera dalam mengekang pencerobohan dari segenap sudut.