Infinix secara rasminya telah melancarkan dua buah telefon pintar baharunya, Infinix Hot 40 Pro dan Hot 40i ke pasaran Malaysia. Terdahulu, harga bagi telefon pintar berkenaan telah pun diumumkan pada minggu lepas.
Hadir dengan skrin Full HD+ 6.78-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz, Infinix Hot 40 Pro dikuasakan oleh pemprosesan MediaTek Helio G99. Ia juga mempunyai RAM 8GB dan storan dalaman sebanyak 256GB.
Baterinya yang berkapasiti 5,000mAh turut menyokong pengecasan 33W. Di belakangnya, ia mempunyai sebuah kamera 108MP, dan sebuah kamera makro 2MP dengan di hadapannya pula terdapat sebuah kamera 32MP.
Seterusnya, untuk Infinix Hot 40i pula, ia didatangkan dengan skrin HD+ 6.56-inci dengan kadar peneygaran semula 90Hz. Pemprosesannya pula menggunakan Unisoc T606 bersama-sama RAM 8GB dan storan 256GB.
Kapasiti baterinya masih sama iaitu 5,000mAh, namun ia menyokong pengecasan 18W. Terdapat dwi-kamera pada bahagian belakangnya dengan kamera utama 50MP. Di sebelah hadapan pula terdapat sebuah kamera 32MP.
Untuk harga, Infinix Hot 40 Pro berharga RM699 dengan Hot 40i pula berharga RM549, sama seperti yang diumumkan pada minggu lepas. Jualannya telah bermula sejak dari semalam menerusi kedai jualan dalam talian rasminya di Lazada, Shopee dan TikTok.