Utama Teknologi Keselamatan PERKESO sahkan kejadian serangan siber; Data yang dibocorkan diragui dan tidak lengkap

PERKESO sahkan kejadian serangan siber; Data yang dibocorkan diragui dan tidak lengkap

152
0

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan kejadian serangan siber terhadap sistem, pangkalan data dan laman webnya yang berlaku sejak Sabtu lalu, 2 Disember 2023. Kenyataan tersebut juga memaklumkan serangan oleh penggodam tersebut tidak menjejaskan keupayaan menyediakan perkhidmatan kepada pencarum, majikan dan juga orang awam.

Terdahulu, sekumpulan penggodam telah membuat hantaran di dalam sebuah forum yang mendakwa sistem-sistem PERKESO telah pun diceroboh. Kumpulan berkenaan juga telah berkongsikan sampel data yang mengandungi maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon, gaji, nama perniagaan dan juga jenis darah.

Memburukkan lagi keadaan, kumpulan berkenaan juga telah berkongsikan rakaman video mesyuarat yang diadakan oleh kakitangan PERKESO mengenai pencerobohan data tersebut di Youtube. Video berkenaan bagaimanapun telah diturunkan oleh pihak Youtube.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh PERKESO tersebut turut menyatakan pihaknya telah mengaktifkan pelan tindakan kecemeasan sebaik sahaja serangan siber tersebut disahkan pada hari yang sama. Pasukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) juga telah digerakkan bagi memulihkan semula sistem-sistem tersebut. Turut dimaklumkan, tujuan serangan siber tersebut dilakukan adalah bagi melumpuhkan infrastruktur yang menguruskan operasi harian PERKESO.

Selepas kawalan sistem berjaya didapatkan semula oleh pasukan ICT PERKESO, pasukan penggodam berkenaan didakwa telah mengubah taktik kepada memburuk-burukkan nama pertubuhan berkenaan.

PERKESO juga memaklumkan pemerhatian awal terhadap sampel data yang diceroboh tersebut diragui, tidak lengkap serta tidak sah. Kelompok data yang dicuri tersebut juga tidak pernah direkodkan oleh PERKESO sejak penubuhannya pada Oktober 1971.

Ini bukanlah kali pertama pertubuhan berkenaan berdepan dengan serangan siber. Serangan kali terakhir berlaku pada September lalu dan berjaya dikendalikan dengan baik.

Tindakan tidak bertanggungjawab penggodam-penggodam berkenaan didakwa menjejaskan kepentingan negara dan pihak PERKESO telah berkongsikan maklumat forensik dengan pihak berkuasa bagi memastikan insiden yang sama tidak berlaku pada mana-mana agensi kerajaan yang lain.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.