Samsung dilihat sedang berusaha ke arah merapatkan jurang antara telefon pintar mercu dengan telefon pintar peringkat menengahnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Usaha tersebut diteruskan lagi dengan Galaxy A55 yang baharu sahaja dilancarkan bersama-sama Galaxy A35.
Untuk kali ini, Galaxy A55 menggunakan lebih banyak bahan premium pada binaan luarannya. Sebelum ini Galaxy A54 menggunakan bahan kaca untuk permukaan belakangnnya dengan kerangkanya diperbuat daripada plastik. Kini bahagian tersebut telah dinaik taraf kepada bahan logam aluminium yang seterusnya memperlihatkan rupa yang lebih premium.
Bagaimanapun, bingkainya masih lagi besar seperti model-modelnya yang terdahulu. Kerangkanya tersebut menampilkan rekaan unik Samsung Key Island yang menjadikan bahagian butang fizikal kawalan audio dan kuasanya menimbul.
Sekali pandang, prestasi Galaxy A55 menerima manfaat dari pengoptimasian yang sebelum ini tidak tersedia pada model-model yang terdahulu. Galaxy A55 menggunakan pemprosesan baharu Samsung Exynos 1480 yang pemprosesan grafik (GPU) di dalamnya direka hasil kerjasama bersama AMD.
Selain reka bentuk dan pemprosesan yang premium, RAM pada model telefon pintar ini juga ditawarkan dengan pilihan yang premium. Pada kapasiti sehingga 12GB, RAM yang ditawarkannya sama besar dengan yang terdapat pada model-model mercu baharu Samsung.
Buat masa ini, permainan popular seperti Call of Duty hanya membenarkan tetapan grafik rendah pada telefon pintar ini. Ini berkait dengan terdapat sebahagian para pembangun permainan masih belum mengoptimasikan judul permainan masing-masing dengan pemprosesan Exynos 1480.
Bercakap tentang optimasi, aplikasi kamera pada telefon pintar ini mengalami senggukan apabila menukar tahap zum ketika rakaman sedang dilakukan. Hal ini tidak wajar berlaku mengambil kira spesifikasi dan prestasinya dari sudut lain yang baik. Diharapkan Samsung akan melakukan optimasi pada aplikasi terbabit menerusi kemaskini yang akan datang.
Walaupun ada menawarkan ciri-ciri yang premium seperti telefon pintar mercu, Galaxy A55 tidak menawarkan ciri-ciri daripada Galaxy AI. Namun, ia mengenengahkan ciri keselamatan melalui Samsung Knox Vault yang membolehkan data-data sensitif pengguna disimpan dengan lebih selamat.
Nantikan ulasan lanjut berkenaan Galaxy A55 yang kami jangkakan mampu menawarkan prestasi dan pengalaman kepenggunaan yang hebat setara dengan telefon pintar peringkat menengah keluaran tahun 2024.