Telefon pintar peringkat menengah terkini Samsung Galaxy A35 dan Galaxy A55 telah dilancarkan di Malaysia secara rasminya. Bersempena kehadirannya tersebut, promosi pembelian terawal turut ditawarkan oleh Samsung Malaysia.
Samsung Galaxy A35 dan Galaxy A55 hanya ditawarkan dengan varian 5G sahaja dengan storan 256GB. Harga bagi kedua-duanya adalah:
- Samsung Galaxy A35 (RAM 8GB + storan 256GB) – RM1,699
- Samsung Galaxy A55 (RAM 12GB + storan 256GB) – RM1,999
Anda boleh mendapatkannya bermula 22 Mac 2024 menerusi Samsung Experience Stores, pengedar Samsung yang sah, kedai jenama Samsung di Shopee dan Lazada, serta kedai dalam talian Samsung Malaysia. Untuk pasaran Malaysia terdapat tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Awesome IceBlue, Awesome Lilac dan Awesome Navy.
Bagi meraikan pelancarannya, Samsung Malaysia memberikan tawaran eksklusif bernilai sehingga RM828. Pembelian Samsung Galaxy A55 akan ditawarkan dengan Galaxy Buds FE (bernilai RM399) secara percuma, waranti lanjutan 1-tahun percuma (bernilai RM129), dan tawaran Pembelian dengan Pembelian (PwP) sehingga 30% bagi Samsung Wearables terpilih dan aksesori.
Dalam pada masa yang sama, pembelian Galaxy A35 pula akan ditawarkan dengan perlindungan Samsung Care+ selama 2-tahun secara percuma (bernilai RM459).
Perlindungan tersebut meliputi kerosakan akibat kemalangan atau disebabkan oleh air, bersama-sama dengan waranti lanjutan tambahan 1 tahun dengan perkhidmatan sokongan peranti. Pembelian model telefon pintar berkenaan juga ditawarkan bersama-sama promosi Pembelian dengan Pembelian (PwP) sehingga 30% bagi Samsung Wearables terpilih dan aksesori.
Samsung Malaysia juga menawarkan tawaran tukar beli bernilai sehingga RM300 untuk pembelian Samsung Galaxy A35 dan Galaxy A55.