Samsung Electronics Co., Ltd. secara rasmi mengumumkan pelancaran program beta One UI 9 pada minggu ini. Antaramuka baharu peringkat percubaan ini akan bermula dengan siri telefon pintar Galaxy S26.
Dibina berasaskan sistem operasi Android 17, ia membawakan pelbagai alat kreatif yang diperluas, pilihan penyesuaian yang fleksibel, pengalaman mudah alih mesra kebolehcapaian, serta perlindungan yang lebih kukuh terhadap ancaman keselamatan pengguna.
Ciri Baharu Kreativiti dan Antara Muka
Menerusi kemas kini ini, aplikasi Samsung Notes telah dipertingkatkan dengan alat kreatif baharu, termasuk penawaran pita hiasan dan pilihan gaya garisan pen yang lebih pelbagai.
Selain itu, aplikasi Contacts kini didatangkan dengan keupayaan akses terus ke Creative Studio. Ini membolehkan pengguna mencipta kad profil peribadi dengan mudah tanpa perlu menukar atau membuka aplikasi secara berasingan.
Dalam pada itu, Quick Panel turut menerima kemas kini utama yang memberikan pengguna kawalan yang lebih menyeluruh terhadap susun atur.
Tetapan untuk kecerahan paparan, bunyi, dan pemain media kini boleh dilaraskan secara berasingan, berserta lebih banyak pilihan saiz kawalan bagi disesuaikan dengan cita rasa dan keperluan individu.
Peningkatan Kebolehcapaian dan Keselamatan
Bagi pengguna yang memerlukan fungsi kebolehcapaian yang lebih baik, One UI 9 Beta memperkenalkan tetapan kelajuan Mouse Key yang boleh dilaraskan bagi menghasilkan kawalan kursor yang lebih lancar.
Samsung juga telah menyepadukan pakej TalkBack yang kini menggabungkan ciri-ciri yang sebelum ini ditawarkan secara berasingan oleh pihak Google dan Samsung.
Turut diperkenalkan adalah fungsi baharu yang dipanggil ‘Text Spotlight’, yang memudahkan pembacaan pengguna dengan memaparkan teks yang dipilih menjadi lebih besar atau lebih jelas menerusi sebuah tetingkap terapung di atas skrin.
Sistem keselamatan juga tidak diketepikan apabila One UI 9 memperkenalkan sistem perlindungan yang dipertingkat bagi menangkis ancaman aplikasi mencurigakan.
Apabila peranti mengesan aplikasi baharu yang berisiko tinggi, sistem secara automatik akan memberi amaran kepada pengguna, menyekat sebarang proses pelaksanaan dan pemasangan aplikasi tersebut, serta mengesyorkan tindakan pemadaman terus melalui kemas kini dasar keselamatan.
Ketersediaan Program Beta
Pengalaman penuh versi One UI 9 kelak akan merangkumi ciri-ciri Kecerdasan Buatan (AI) termaju yang direka untuk menjadikan interaksi mudah alih lebih lancar.
Versi stabil penuh ini dijangka akan dilancarkan bersama-sama siri peranti mercu Galaxy yang akan datang pada hujung tahun ini.
Buat masa ini, program beta One UI 9 dibuka bermula minggu ini secara eksklusif untuk pengguna siri Galaxy S26 yang berminat melalui pendaftaran di aplikasi Samsung Members.
Walau bagaimanapun, penyertaan ini terhad kepada pasaran terpilih sahaja iaitu di Jerman, India, Korea Selatan, Poland, United Kingdom, dan Amerika Syarikat sahaja. Pasaran-pasaran termasuk pasaran Malaysia tidak ditawarkan.












