Gergasi elektronik dari Korea Selatan, Samsung telah memperkenalkan Samsung Galaxy A35 ke pasaran Malaysia pada Selasa lalu. Pelancaran tersebut dibuat bersama-sama Galaxy A55 seperti yang kami ulas sekilas pandang di dalam artikel yang lepas.
Di Malaysia, Galaxy A35 ditawarkan dengan satu sahaja pilihan konfigurasi RAM dan storan yang masing-masing 8GB dan 256GB pada harga RM1,699. Tiga warna pilihan disediakan untuk telefon pintar ini yang terdiri daripada Awesome Lilac, Awesome Navy dan Awesome Iceblue.
Sungguhpun berkongsi bahasa reka bentuk dengan modelnya yang terdahulu, model pada tahun ini menawarkan beberapa ciri baharu. Samsung buat pertama kali dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini telah menggunakan kerangka logam aluminium di sekeliling Galaxy A35. Telefon pintar ini juga menerima perlindungan kaca Corning Gorilla Glass Victus+ pada sebelah hadapan dan juga sebelah belakangnya.
Di bahagian belakangnya juga ditempatkan tri-kamera yang disusun secara menegak mirip reka bentuk telefon pintar yang lebih premium Galaxy S24. Kamera-kamera berkenaan teridir daripada kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 5MP.
Ciri premium lain yang disediakan oleh Galaxy A35 juga hadir dalam bentuk pengimbas cap jari terbina dalam pada skrin paparan Super AMOLED FHD+ 6.6-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz.
Galaxy A35 guna Exynos 1380
Kuasa pemproesan telefon pintar ini pula datangnya dari pemprosesan buatan Samsung, Exynos 1380. Melalui pemprosesan lapan teras 5nm berkenaan, Galaxy A35 boleh melaksanakan tugasan-tugasan lazim peranti mudah alih dengan mudah. Begitu juga dengan permainan-permainan mudah alih, pengendalian grafiknya dapat dijalankan dengan baik pada tetapan sederhana.
Telefon pintar Android peringkat menengah baharu ini juga menggunakan antaramuka One UI 6.1 yang berasaskan Android 14. Samsung menyatakan sokongan kemaskini perisian untuk Galaxy A35 disediakan untuk sekurang-kurangnya empat tahun dengan kemaskini keselamatan pula sehingga 2029.
Bagi meningkatkan ciri keselamatannya, Samsung juga menyertakan fungsi Auto Blocker yang membantu menyekat pemasangan aplikasi dari sumber yang tidak disahkan. Ia juga digunakan untuk mengimbas sebarang kemungkinan ancaman malware serta menyekat serangan hasad dan pemasangan perisian yang diragui apabila bersambungan melalui kabel USB.
Platform keselamatan berbilang lapisan Samsung Knox juga disediakan untuk Galaxy A35 yang mana dikhususkan untuk perlindungan data sensitif seperti kata laluan, maklumat kad kredit dan sebagainya dari ancaman siber.
Nantikan ulasan lanjut kami berkenaan Galaxy A35 dalam masa terdekat untuk melihat dengan lebih dekat kelebihan dan kekurangan telefon pintar ini.