Samsung, kini mempamerkan keupayaan teknologi kecerdasan buatannya (AI) Galaxy AI, melalui kempen papan iklan video tiga dimensi (3D) di 17 mercu tanda utama di seluruh dunia, termasuk di Kuala Lumpur.
Kempen promosi yang telah bermula pada 11 Februari lalu ini bertujuan untuk memberi gambaran awal mengenai ciri penciptaan foto berteknologi tinggi menjelang acara pelancaran tahunan, Galaxy Unpacked 2026.

Kempen pengiklanan berskala besar ini direka khas untuk membawa inovasi Galaxy AI ke layar gergasi di kawasan bandar yang paling ikonik. Inisiatif ini bukan sahaja mempamerkan visual yang estetik, malah ia menekankan bagaimana proses penciptaan foto menjadi lebih mudah dengan sokongan kecerdasan buatan.
Penggunaan papan iklan video 3D dimanfaatkan untuk menunjukkan proses penciptaan foto yang lancar dan mudah menggunakan inovasi Galaxy AI.
Ditayangkan di 17 mercu tanda antarabangsa terpilih, iklan ini hadir di lokasi terpilih bandar-bandar utama dunia seperti antaranya Elite Pavilion (Kuala Lumpur), Piccadilly (London), The Moxy (Los Angeles), Shibuya Station Front (Tokyo), dan K-POP Live at Coex (Seoul).
Acara rasmi Galaxy Unpacked ini akan berlangsung pada 26 Februari 2026 dan siaran langsung akan bermula tepat pada jam 2:00 pagi mengikut waktu Malaysia.








