Utama Android Oppo OPPO A5i tiba di Malaysia; Harga dari RM399

OPPO A5i tiba di Malaysia; Harga dari RM399

92
0

OPPO secara rasminya telah memperkenalkan model baharu untuk siri A keluarannya menerusi A5i ke pasaran Malaysia. Antara yang diketengahkan telefon pintar bajet ini termasuklah ciri ketahanan dan juga bateri tahan lama.

A5i menampilkan paparan LCD 6.67-inci beresolusi 1604 × 720p dengan kadar penyegaran semula 90Hz dan kecerahan puncak 1,000 nits. Menurut OPPO, bahagian hadapan dan belakang telefon pintar ini dilindungi oleh dua lapisan China Southern Glass dan Panda Glass.

Ia juga didatangkan dengan penarafan IP54 untuk kerintangan percikan dan penarafan MIL-STD-810H untuk rintang jatuhan, selain turut disediakan bersama bicu audio 3.5mm.

Di dalamnya, telefon pintar ini dilengkapkan dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 6s Gen 1 yang bergandingan dengan pilihan RAM 4GB atau 6GB, dan storan 128GB. Menguasakannya, sebuah bateri berkapasiti 5,100mAh dengan sokongan pengecasan 45W turut disediakan. Bateri ini juga didakwa mampu mengekalkan sekurang-kurangnya 80% kapasiti selepas empat tahun.

Untuk perisiannya, OPPO A5i dijalankan oleh antaramuka ColorOS 14.0 berasaskan Android 14 dan untuk ketersambungannya pula, ia menyokong 4G, Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.0.

Telefon pintar ini juga mempunyai kamera utama yang asas sekadar 8MP sahaja dengan kamera hadapan 5MP. Keupayaan rakamannya pula terhad pada 1080p pada 30fps dengan kamera hadapannya pula pada 720p.

OPPO A5i didatangkan dengan dua pilihan warna, Starry Purple dan Nebula Red. Konfigurasi asas RAM 4GB, storan 128GB dijual pada harga RM399, dengan konfigurasi RAM 6GB dan 128GB pula dijual pada harga RM499. Model ini sepatutnya mempunyai varian Pro, namun untuk pasaran Malaysia ia tidak diperkenalkan lagi buat masa ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.