SHAH ALAM, 29 Julai 2026 – Midea, peneraju global dalam perkakas rumah pintar, kini memperluaskan aksesnya di Malaysia melalui kerjasama strategik dengan 99 Speed Mart Sdn Bhd, rantaian pasaran mini terbesar di negara ini.

Melalui kerjasama ini, produk perkakas rumah berkualiti daripada Midea kini lebih mudah diakses oleh pengguna di lebih 3,100 cawangan 99 Speed Mart di seluruh negara.

Kerjasama rasmi ini telah dimeterai melalui satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang menandakan pencapaian baharu dalam strategi pertumbuhan jangka panjang Midea di Malaysia.

Mewakili Midea pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Midea Malaysia, Mark Tam, manakala 99 Speed Mart diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Yong Eng Kwang. Pemeteraian ini turut disaksikan oleh Presiden Rantau Asia Pasifik (APAC) Kumpulan Midea, Zeal Jiang, dan Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 99 Speed Mart, Lee Thiam Wah.

Langkah ini adalah susulan daripada pengembangan rangkaian runcit Midea yang telah melancarkan 18 Kedai Jenama Midea di seluruh negara pada tahun lalu.

Membawa Keselesaan ke Kawasan Kejiranan

Pengarah Urusan Midea Malaysia, Mark Tam menyatakan perluasan rangkaian runcit ini bermakna pengguna kini mempunyai akses yang lebih mudah kepada teknologi terkini Midea.

Menurut beliau, akses kepada salah satu rangkaian runcit paling meluas di Malaysia membolehkan jenama tersebut mencapai lebih banyak kawasan kejiranan dan menyediakan perkhidmatan sejajar dengan slogan 99 Speed Mart, iaitu ‘Near n’ Save’ atau Dekat dan Jimat.

Senada dengan CEO 99 Speed Mart, Lee Thiam Wah menyifatkan kerjasama ini sebagai titik tolak penting bagi syarikatnya untuk berkembang melangkaui penawaran produk tradisional harian. Beliau menyatakan langkah ini bertujuan memenuhi keperluan rakyat Malaysia dengan membawa penyelesaian perkakas rumah yang dipercayai dengan lebih mudah

Kerjasama ini turut menyokong wawasan pertumbuhan Midea di rantau ini yang dikenali sebagai strategi Power of One. Visi yang dilancarkan di Persidangan Pengedar Asia Pasifik di Bali pada akhir tahun lalu ini bermatlamat menyatukan inovasi produk, peluasan runcit, dan pengalaman pelanggan di bawah satu agenda pertumbuhan yang seragam.

Bermula hari ini, pelanggan di seluruh negara boleh mendapatkan seleksi perkakas rumah kecil Midea di cawangan 99 Speed Mart, antaranya:

Produk Model
Blender Glass Jar MBL602B0BGG
Blender MBL-6012K
Double Wall Jug Kettle MK-17BK
Jug Kettle MKE172M2BDG
Conventional Rice Cooker MG-GP06B / MG-GP18B
Table Fan MF-16FT15NB
Stand Fan MF-16FS23C-BK
Desktop Circulation Fan MFT700M0BPB
Bread Toaster MTO9522SBPG
Oven Toaster MEO-10BDW-BK
Stick Vacuum MCV-SV66
Stainless Steel Stove MGS-T2133S

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.