realme sebelum ini telah mengacah kehadiran realme C71 dan kini ia telah pun dilancarkan pada 13 Jun 2025. Selain dari harganya, realme telah berkongsikan hampir keseluruhan maklumat mengenai telefon pintar peringkat pemula ini.
Ia didatangkan dengan paparan HD+ 6.72-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan tahap kecerahan puncak 725 nits. Pemprosesannya pula hadir dalam bentuk Unisoc T7250 dengan disokong oleh RAM 6GB dan storan 128GB. Untuk bateri, ia didatangkan dengan kapasiti 6,300mAh bersama-sama sokongan pengecasan 45W dan 6W untuk pengecasan berbalik.
Dari sudut fotografinya, realme C71 hanya dinyatakan mempunyai kamera 50MP di belakangnya dan sebuah kamera 5MP di sebelah hadapannya. Lain-lain ciri yang disediakan untuk telefon pintar dengan antaramuka realme UI 6 berasaskan Android 15 ini termasuklah pengimbas cap jari pada sisinya, bicu audio 3.5mm, Wi-Fi 5, dan Bluetooth 5.2.
realme C71 hanya didatangkan dengan satu pilihan konfigurasi pada harga RM499. Pembelian terawal sebelum 12 Julai akan melayakkan anda pelindung skrin dan waranti lanjutan 1 tahun secara percuma.
Dalam pada masa yang sama, fon kepala realme Techlife Studio H1 turut diperkenalkan bersama. Menampilkan pemacu 40mm, ia mempunyai sokongan dwi-ketersambungan melalui Bluetooth 5.4 dengan hayat bateri sehingga 70 jam. Ia dijual pada harga RM399 bermula dari 25 Jun ini.