realme secara rasminya telah melancarkan siri realme C100.  Telefon pintar kelas permulaan baharu untuk pasaran tempatan ini dijual pada harga bermula dari RM599.

Barisan peranti ini merangkumi model realme C100 dan realme C100i. Fokus utamanya terletak pada ketahanan bateri ekstrem dan daya tahan fizikal dalam penggunaan seharian.

Kehadiran bateri berkapasiti luar biasa besar ini menjadikannya pilihan ideal untuk golongan pekerja gig dan penghantar makanan (p-panggilan) yang sentiasa berada di lapangan tanpa akses mudah untuk mengecas peranti.

Biarpun memuatkan bateri yang bersaiz besar, realme masih mengekalkan rekaan fizikal yang nipis pada peranti ini.

Lebih tahan Lasak

Menurut realme, kedua-dua peranti hadir dengan pengiktirafan standard ketenteraan MIL-STD 810H serta penarafan kalis air dan debu IP64. Membolehkannya kekal utuh serta boleh diharap dalam senario penggunaan dunia sebenar.

Kedua-dua modelnya dimuatkan dengan kapasiti bateri 7,000mAh, namun dibezakan dengan sokongan pengecasan. Model C100 menyokong pengecasan pantas berwayar 45W, manakala varian C100i menyokong pengecasan 15W. Ia turut dilengkapkan keupayaan pengecasan berbalik (reverse charging) yang membolehkannya berfungsi sebagai bank kuasa (powerbank).

Paparan skrinnya hadir dalam bentuk LCD bersaiz 6.8 inci. Untuk model yang lebih mampu milik, C100i menawarkan kadar segar semula (refresh rate) yang ditawarkan adalah sehingga 120Hz bagi memastikan kelancaran visual.

Model C100i dikuasakan oleh cip pemprosesan Unisoc T7250. Ia dipadankan bersama memori (RAM) 4GB dan ruang storan dalaman sebesar 128GB. Manakala C100 yang lebih tinggi prestasinya menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 6300.

Setiap model ini juga dilengkapkan dengan ciri asas masa kini. Antaranya merangkumi pengimbas cap jari, dan sepasang pembesar suara stereo berkembar. Malah, bicu fon kepala (headphone jack) 3.5mm juga disediakan.

Model asas C100i akan dijual pada harga RM599. Sementara itu, varian yang lebih berkuasa iaitu C100 5G dijual pada harga RM1,099. Bagi menghargai pelanggan terawal, realme menawarkan promosi diskaun menjadikan model C100 5G ini hanya bernilai RM899 untuk tempoh masa terhad.

Jualan rasmi untuk siri realme C100 ini akan bermula pada 9 Mei 2026. Anda yang berminat boleh membuat pembelian melalui kedai-kedai dalam talian rasminya di platform e-dagang utama seperti Shopee, Lazada, dan TikTok Shop. Selain itu, peranti ini juga boleh didapati secara fizikal menerusi rangkaian pengedar sah jenama tersebut di seluruh negara.

Tinggalkan komentar