Euan Smith akan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Astro selepas enam tahun bersama syarikat media tersebut. Tempat beliau akan diambil alih sementara oleh bekas CEO, Henry Tan.

Buat masa ini, Astro masih dalam proses pencarian dan belum menamakan pengganti tetap bagi jawatan tersebut.

Bagi mengisi kekosongan tersebut, Henry Tan telah dilantik sebagai CEO Interim yang akan berkuat kuasa pada 16 Jun 2026. Beliau bukanlah susuk yang asing memandangkan beliau pernah memegang kerusi CEO Astro bermula Februari 2019 sehingga Januari 2023.

Jawatan tersebut kemudiannya diserahkan kepada Euan Smith. Sebagai pemimpin interim, beliau akan memikul tanggungjawab menyelia operasi, prestasi, dan kepimpinan keseluruhan korporat.

Untuk rekod, Euan Smith mula berkhidmat di Astro pada April 2020 bermula dengan jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TV.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat kepada GCEO pada Februari 2023. Walaupun Henry Tan akan mula mengambil alih tugas tidak lama lagi, Euan Smith tidak akan meninggalkan syarikat itu serta-merta. Beliau akan terus kekal bersama organisasi bagi memberikan bantuan dan sokongan penasihat teknikal kepada Ahli Lembaga Pengarah sehingga 6 Disember 2026.

Tinggalkan komentar