WhatsApp mendedahkan syarikat perisian pengintip (spyware) dari Israel, NSO Group, masih aktif melakukan serangan siber ke atas penggunanya. Serangan tersebut masih berlaku walaupun terdapat perintah mahkamah yang melarang tindakan tersebut.

Susulan pendedahan ancaman siber itu, syarikat induk Meta kini sedang memfailkan tindakan undang-undang baharu terhadap firma berkenaan.

Meta telah memfailkan perintah penghinaan mahkamah persekutuan terhadap NSO Group atas dakwaan melanggar injunksi kekal secara terang-terangan.

Larangan mahkamah tersebut menghalang syarikat Israel itu daripada menjadikan platform WhatsApp atau mana-mana pengguna globalnya sebagai sasaran operasi pengintipan.

Langkah perundangan baharu ini diambil oleh Meta kurang setahun selepas perintah mahkamah berkenaan berkuatkuasa.

Taktik Pancingan Data Siber

Sistem keselamatan WhatsApp berjaya mematahkan taktik serangan spear phishing (pancingan data berfokus). Taktik tersebut direka untuk memperdaya mangsa agar menekan pautan berniat jahat.

Menurut siasatan Meta, serangan baharu ini dikesan menggunakan pautan domain palsu. Contohnya dengan menyamar sebagai agensi berita antarabangsa milik Perancis, France 24.

Walau bagaimanapun, cubaan penggodaman tersebut dilaporkan gagal dan setakat ini hanya dikesan mensasarkan kurang daripada 10 individu yang majoritinya berada di Jordan dan Lubnan.

Bagi memastikan rantaian ancaman ini diputuskan sepenuhnya, WhatsApp telah bertindak memadamkan kesemua akaun ujian serta kumpulan borak yang dibangunkan oleh NSO Group di dalam aplikasi tersebut.

Syarikat perisian pengintip berkenaan telah disenaraihitam oleh kerajaan Amerika Syarikat. Teknologi pengawasan yang digunakannya didapati mendatangkan risiko dan ancaman kepada keselamatan negara.

Tinggalkan komentar