Google telah melancarkan ciri Google Health Coach di Malaysia, penasihat kecergasan maya yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) Gemini.
Pengenalan ciri baharu ini hadir seiring dengan penjenamaan semula aplikasi Fitbit. Ia kini telah dinaik taraf dan dikenali sebagai aplikasi Google Health.
Menerusi keupayaan analitik Gemini, penasihat kecergasan ini bertindak sebagai jurulatih kecergasan, pakar tidur, dan penasihat kesejahteraan. Data kesihatan pengguna akan ditukarkan kepada panduan harian yang lebih interaktif dan praktikal.
Bagi pengguna di Malaysia, peralihan daripada Fitbit kepada Google Health berlaku secara automatik melalui kemas kini aplikasi sedia ada.
Pengguna tidak perlu memuat turun aplikasi yang berasingan, dan semua sejarah penjejakan kesihatan akan dipindahkan secara teratur tanpa campur tangan manual. Sementara itu, pengguna aplikasi Google Fit sedia ada akan turut dijemput untuk berpindah ke platform baharu ini menjelang akhir tahun ini.
Antara Muka Baharu dan Interaksi AI
Aplikasi Google Health kini membawakan reka bentuk skrin utama baharu yang lebih kemas dan teratur. Antara muka tersebut dibahagikan kepada empat tab utama, iaitu Today (Hari Ini), Fitness (Kecergasan), Sleep (Tidur), dan Health (Kesihatan).
Bagi mendapatkan bimbingan kesihatan, pengguna boleh berinteraksi pada bila-bila masa dengan menekan butang Ask Coach. Model AI Gemini kemudiannya akan membaca data pengguna dan memberikan panduan atau tindakan yang perlu diambil bagi mencapai matlamat kesihatan mereka.
Penawaran Harga dan Ketersediaan
Ciri Google Health Coach ini ditawarkan secara eksklusif menerusi pelan langganan Google Health Premium, yang sebelum ini dikenali sebagai Fitbit Premium. Langganan perkhidmatan ini ditawarkan pada harga sekitar RM40.65 sebulan (AS$9.99), dan turut menyediakan pilihan langganan secara tahunan.
Sebagai nilai tambah, pelanggan pelan Google AI Pro dan Ultra akan menikmati akses kepada perkhidmatan Premium ini tanpa sebarang kos tambahan.
Ciri penasihat AI ini mula dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna peranti Fitbit dan Pixel Watch yang layak, dengan sokongan untuk peranti lain akan menyusul kelak. Anda boleh memuat turun aplikasi tersebut sekarang dan akan menerima notifikasi apabila ciri penasihat ini sedia untuk digunakan pada peranti.















