Xiaomi secara rasmi mengesahkan pelancaran tablet baharunya, Xiaomi Pad 8 ke pasaran global pada 28 Februari 2026. Ia dilaksanakan seiring dengan pelancaran global siri Xiaomi 17.
Tablet ini hadir sebagai kesinambungan kepada Xiaomi Pad 7 Pro dengan mengetengahkan “kecekapan setara PC” bagi meningkatkan produktiviti dan kreativiti pengguna.
Xiaomi Pad 8 menampilkan skrin LCD 11.2 inci dengan resolusi 3,200 x 2,136 piksel, disokong kadar segar semula 144Hz dan kecerahan puncak sehingga 800 nit.
Paparan boleh sentuhnya turut menyokong sentuhan pen stylus. Turut dilengkapkan bersama empat pembesar suara yang diselaraskan dengan teknologi Dolby Atmos. Tablet ini juga mempunyai penyambungan magnetik untuk papan kekunci dan stylus yang serasi.
Di dalamnya, Xiaomi Pad 8 dikuasakan oleh pemproses Qualcomm Snapdragon 8s Gen 4. Ia dibantu oleh RAM sehingga 12GB dan storan dalaman 256GB. Peranti ini juga menjalankan sistem operasi HyperOS 3.0.
Xiaomi Pad 8 dibekalkan dengan bateri besar berkapasiti 9,200mAh. Ia enyokong pengecasan pantas berwayar sehingga 45W, serta pengecasan terbalik berwayar pada 22.5W. Dari segi ketersambungan, tablet ini menyokong WiFi 7 dan Bluetooth 5.4.
Bahagian belakang Xiaomi Pad 8 menampilkan sensor 13MP yang mampu merakam video 4K pada 30fps, 1080p pada sehingga 60fps, dan 720p pada 30fps. Manakala kamera hadapan pula dilengkapkan dengan sensor 8MP yang boleh merakam video dalam kualiti 1080p dan 720p pada 30fps.
Spesifikasi Xiaomi Pad 8
| Spesifikasi | Butiran |
|---|---|
| Paparan | LCD 11.2 inci, 3,200 x 2,136 piksel |
| Kadar Segar Semula | 144Hz |
| Kecerahan Puncak | 800 nit |
| Pemproses | Qualcomm Snapdragon 8s Gen 4 |
| RAM / Storan | Sehingga 12GB / 256GB |
| Bateri | 9,200mAh, 45W cas pantas |
| Kamera Belakang | 13MP, 4K@30fps |
| Kamera Hadapan | 8MP, 1080p@30fps |
| Kesambungan | WiFi 7, Bluetooth 5.4 |
| Sistem Pengendalian | HyperOS 3.0 |
| Warna | Hitam, Biru, Hijau |
Tablet ini tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, biru, dan hijau. Walaupun Xiaomi merancang untuk melancarkan tablet ini secara global, tiada pengumuman mengenai tarikh ketibaan peranti ini ke pasaran Malaysia.
Setakat artikel ini ditulis, Xiaomi Pad 8 juga belum tersenarai di SIRIM, dan Xiaomi Malaysia belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentang tablet baharu ini.














